pop

 

Pelumba berbasikal lebuh raya negara diharap dapat mengambil kesempatan untuk mencipta kejayaan selaku juara Asia pada perlumbaan Le Tour de Langkawi yang bermula dari 21 Feb hingga 2 Mac ini.

“Sepanjang penganjuran LTdL, tiada pelumba Malaysia yang berjaya meraih
kejayaan sebagai pelumba terbaik Asia.

“Untuk edisi kali ini, kita mempunyai seramai 17 pelumba Malaysia mengambil
bahagian dan diharap ada di antara mereka yang mampu muncul selaku pelumba
terbaik Asia,” kata presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM)
Datuk Abu Samah Wahab.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan tajaan Jersi Putih Malaysia
Airlines (MAS) untuk pelumba terbaik Asia di Ibu pejabat LTdL, Pusat Akuatik
Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

“Walaupun mereka (pelumba-pelumba) mewakili pelbagai pasukan, termasuk
pasukan kebangsaan, mereka seharusnya ingat bahawa mereka berlumba untuk
menaikkan nama Malaysia. Saya harap semua pelumba akan dapat bekerjasama,”
katanya.

Untuk edisi ke-18 LTdL itu, selain masing-masing enam pelumba tempatan dalam
pasukan kebangsaan dan Terengganu Cycling Team (TSG), terdapat lima lagi
pelumba yang mewakili pasukan profesional benua dan benua.

Mereka ialah Anuar Manan (Synergy-Baku Cycling Project), Adiq Husainie
Othman (Champion System Pro Cycling Team), Ng Yong Li (RTS Racing Team) serta
Loh Sea Keong dan Ahmad Haidar Anuawar daripada pasukan OCBC Singapore
Continental Cycling Team.

Persaingan untuk pelumba terbaik Asia diperkenalkan pada edisi ketiga LTdL
pada 1998, yang menyaksikan pelumba Indonesia Tonton Susanto menjadi pelumba
pertama memenanginya.

Untuk rekod, Tonton turut muncul sebagai pelumba terbaik Asia pada 2002 dan
2009, sekali gus menjadikan beliau pemegang rekod kategori itu dengan tiga
kemenangan.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Serantau MAS, Muzammil Mohamad berkata
kerjasama dengan penganjur LTdL dapat membantu syarikat penerbangan itu
memperluas dan memperkukuhkan jenamanya.

Penajaan MAS kali ini merangkumi tiket penerbangan dan memberi tambahan
lebihan berat bagasi dari 10 kg ke 15 kg.

“Memandangkan setakat ini tiada pelumba negara yang berjaya meraih Jersi
Putih selaku juara Asia, pihakĀ  MAS ingin mengumumkan bahawa sekiranya ada
pelumba negara yang berjaya meraih Jersi Putih, mereka akan menerima penajaan
tiket pernerbangan pergi-balik ke Paris untuk menyaksikan perlumbaan Tour de
France.

“Bagi pemenang peringkat pula kita akan memberikan imbuhan berupa tiket
penerbangan pergi-balik untuk destinasi rantau Asia Tenggara,” kata Muzammil.

Katanya, selaku penaja Jersi Putih berkenaan dan mahu turut terlibat dalam
pembangunan sukan di negara ini, imbuhan berkenaan adalah sebagai pemangkin
kepada pelumba negara untuk mencipta kejayaan. – BERNAMA