Selepas tiga pusingan, pelumba SuperSports 600cc Malaysia perlu memastikan kemenangan menjadi milik mereka menjelang pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Kyushu, Jepun bermula 7 hingga 9 September ini.

Selain ARRC, kejuaraan ini bakal dilangsungkan bersama-sama dengan Kejuaraan All Japan MFJ di mana ia akan menghimpunkan pelumba-pelumba terbaik dari Jepun dan Asia bersempena dengan acara tahunan Fiesta Motosikal Kyushu di sini.

Bagi Mohd Zamri Baba (PETRONAS Hong Leong Yamaha) dan Azlan Shah Kamaruzaman (MUSHASHi Boon Siew Honda Racing) yang kini menghuni tangga ketiga dan keempat keseluruhan dengan 100 mata dan 76 mata, mereka sedar ia bukan satu tugas mudah.

Kedua-duanya dijangka bakal berhadapan saingan sengit pelumba handalan tuan rumah terutama rakan sepasukan Azlan, Ryuichi Kiyonari dan Katsuaki Fujiwara (Manual-Tech BEET Kawasaki Racing) yang berusaha untuk terus menjarakkan diri di persada senarai keseluruhan apatah lagi akan turun beraksi di hadapan penyokong mereka sendiri.

Begitu juga dalam kategori Underbone 115cc di mana tumpuan terarah kepada pelumba tunggal negara yang menduduki kelompok lima pelumba teratas iaitu, Norizman Ismail dari pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing. Misi Norizman di Autopolis adalah untuk merapatkan jurang perbezaan mata setelah ketinggalan 34 mata di belakang pendahulu, Hadi Wijaya dari Indonesia.

Tidak kurang hebatnya dengan saingan Piala Impian Asia yang mula diperkenalkan pada tahun ini. Sama dengan SuperSports 600cc, dua pelumba muda Jepun kini sedang mendahului carta senarai keseluruhan setelah Hikari Okubo setakat ini mengumpul 104 mata diikuti Hiroki Ono yang hanya ketinggalan empat mata di belakang. Namun beberapa pelumba lain seperti Apiwat Wongthananon dan duo Indonesia yang semakin mempamerkan peningkatan, Iswandi Muis dan Denny Triyugo, mereka dilihat mampu untuk menghukum setiap kesilapan yang dilakukan pelumba tuan rumah itu.