Connect with:




Perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia 2018 antara Terengganu bertemu Perak Sabtu ini di Stadium Shah Alam dilihat sebagai pentas terbaik buat skuad Penyu menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia setelah kali terakhir melakukannya pada 2001.

Bekas pemain Terengganu, Faziallah Mamat berharap anak buah Irfan Bakti akan memberikan yang terbaik pada pentas akhir nanti bagi menebus kembali kekecewaan tunduk 1-2 ditangan Negeri Sembilan pada final 2011 di Stadium Shah Alam.

“17 tahun piala berprestij itu tidak ke bumi Terengganu dan ianya sudah cukup lama. Saya merupakan pemain pertama dalam sejarah yang menjulang piala itu dan pastinya saya mahu melihat sekali lagi piala itu dijulang oleh pemain Terengganu FC.

“Tidak kira pemain mana yang akan diturunkan nanti tapi apa yang pasti mereka harus memanfaatkan peluang sebaik mungkin dan beraksi sebagai satu unit sebagaimana telah mereka lakukan sewaktu menunjukkan jalan keluar dari saingan Piala Malaysia buat Johor Darul Ta’zim, Sabtu lalu,” ujar Faziallah yang merupakan bekas pemain skuad Olimpik Negara.

Beliau yakin setiap pemain mempunyai impian untuk mencipta kenangan paling indah dalam karier bola sepak masing-masing dengan menjulang trofi Piala Malaysia.

“Saya pasti ianya bukan tugas mudah buat Irfan Bakti dan anak-anak buahnya nanti namun ianya bukan mustahil jika pemain mendengar arahan daripada jurulatih.

“Nasihat saya buat para pemain adalah sentiasa meletakkan diri mereka jauh lebih hebat dari lawan yang dihadapi, beraksi sebagai satu pasukan dan tanamkan sikap cinta akan pasukan

“Usah terlalu fikirkan habuan menanti, ini adalah peluang untuk pemain buktikan gaji yang diterima selama ini setimpal sekiranya mereka mampu keluar sebagai pemenang dalam perlawanan akhir itu nanti,” jelas Faziallah yang kini bertugas sebagai pegawai belia dan sukan di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.

Di zaman kegemelingannya, Faziallah yang beraksi di sayap kanan berjaya membantu pasukan kendalian Mat Zan Mat Aris muncul juara dengan mengetepikan Perak pada final 2001 dengan keputusan 2-1.

 

Foto : Facebook Terengganu Football Club

Sumber : SPORTS247.com