Connect with:




Atlet boling tenpin negara, Muhammad Rafiq Ismail sebelum ini turut dianugerahkan sebagai Atlet Terbaik 2018 pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM) 100Plus mempunyai peluang terbaik untuk sekali lagi dinobatkan sebagai Olahragawan Negara 2018 pada malam Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018 hari ini.

Muhammad Rafiq sebelum ini melakar kejayaan meraih emas dalam acara perseorangan Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong dan lebih manis kejayaan itu menjadikan beliau sebagai pemain Malaysia pertama mencapai kejayaan itu dalam tempoh 39 tahun dengan menewaskan pemenang pingat emas 2014, Dan MacLelland dari Kanada dengan 217-204.

Malah pemain berusia 22 tahun itu turut cemerlang pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan meraih satu pingat emas dan satu pingat perak masing-masing menerusi acara Masters dan Trio Lelaki yang mana beliau bergandingan dengan Ahmad Muaz Mohd Fishol dan Timmy Tan.

Jawatankuasa Pemilihan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipengerusi Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Waitchalla R.R.V. Suppiah, telah menerima seramai 65 pencalonan untuk 11 kategori daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan persatuan sukan kebangsaan pada tahun ini.

Selepas itu kesemua calon akan melalui proses penapisan yang teliti untuk disenarai pendek, hanya lima atlet lelaki dan lima atlet wanita akan disenarai pendek untuk merebut gelaran itu.

Dalam majlis berkenaan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk berangkat hadir dan seterusnya menyampaikan anugerah utama pada majlis berkenaan yang akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Kesemua calon yang telah disenarai pendek, dinilai berdasarkan pencapaian cemerlang mereka di pentas antarabangsa sepanjang tahun lepas terutamanya di dua temasya besar, iaitu Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia di Jakarta-Palembang di samping pencapaian di kejohanan peringkat dunia sepanjang 2018.

Selain Muhammad Rafiq, calon Olahragawan lelaki lain ialah atlet berbasikal trek, Mohd Azizulhasni Awang, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (skuasy), Mohd Syarul Azman Mahen (bina badan) dan Mohd Fauzi Kaman Shah (pelayaran).

Manakala bagi calon Olahragawati Negara pula, lima atlet telah disenaraikan iaitu S.Sivasangari (skuasy), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (tenpin boling), Tan Li Lian (bina badan) dan Amy Kwan (gimrama).

Melalui pencalonan tersebut, tiga atlet dilihat berpontensi dan akan memberi saingan sengit diantara Amy Kwan, Siti Safiyah Amirah dan Siti Zalina yang telah menunjukan kecemerlangan dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa sepanjang tahun lepas.

Siti Zalina, 39, telah berjaya merangkul pingat emas di Sukan Komanwel dalam acara pairs serta meraih pingat emas di Kejohanan Boling Padang Asia di Henan, China. Manakala Siti Safiyah Amirah, 28, menyumbang pingat emas menerusi acara trio di Sukan Asia dan pingat perak dalam acara berpasukan.

Kedua-dua atlet itu dilihat akan memberikan saingan sengit kepada gimnas, Amy Kwan yang dilihat memiliki peluang untuk merangkul gelaran Olahragawati setelah melakukan kejutan di temasya Sukan Komanwel apabila menghadiahkan emas dalam acara riben dan membantu acara berpasukan meraih pingat perak.

Jika dilihat diatas kertas, Muhammad Rafiq dan Amy Kwan dilihat memiliki peluang tetapi mereka terpaksa bersaing dengan beberapa calon lain yang turut melakar kecemerlangan di pentas antarabangsa dalam acara masing-masing sepanjang tahun lepas.

Pemenang Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

Selain anugerah Olahragawan dan Olahragawati, ASN turut menawarkan sembilan anugerah lain iaitu Olahragawan Para dan Olahragawati Para Negara, Pasukan Lelaki dan Wanita Negara, Jurulatih Lelaki dan Wanita Negara, Anugerah Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas. –BERNAMA

Foto: Bowling Digital.com / Sukan SEA KL 2017