Connect with:




Pendahulu keseluruhan, Md Syarifuddin Azman berpeluang untuk bergelar juara keseluruhan WIRA KBS seandainya muncul juara perlumbaan pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, Sabtu dan Ahad ini.
Pelumba Idemitsu Kozi YAM Honda Racing itu kini sedang mendahului kedudukan dengan 133 mata, terikat jumlah pungutan mata bersama Md Danial Syahmi namun memiliki kelebihan jumlah kemenangan berbanding pencabarnya itu.
Selepas lapan pusingan, Syarifuddin kini memiliki lima kemenangan berbanding Danial yang meraih dua kemenangan.
Namun, Danial terlepas aksi di Jempol minggu ini akibat kecederaan menyaksikan peluang lebih terbuka kepada Syarifuddin untuk meraih kemenangan keenam berturut-tutut pada musim ini.
Satu-satunya pelumba yang masih mampu memberikan cabaran ialah Md Alif Ashraf Tahiruddin yang kini berada di kedudukan ketiga dengan 112 mata seandainya pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha itu mampu menjuarai perlumbaan minggu ini.
“Di atas kertas, mungkin nampak ada kelebihan kepada saya namun situasi berbeza jika di litar. Banyak faktor lain perlu diambil kira terutama sewaktu perlumbaan,” jelas Syarifuddin.
Tambahnya, “Ketiadaan Danial juga bukannya alasan untuk saya mengambil mudah saingan minggu ini. Secara peribadi, saya turut bersimpati dengan kecederaan Danial. Persaingan diantara kami berdua cukup menarik dan sengit sepanjang musim ini. Saya doakan dia cepat pulih dan kembali ke litar semula.
“Namun, saya yakin rakan sepasukannya juga mampu memberikan saingan kepada saya, begitu juga dengan Alif yang sentiasa konsisten berada di kelompok depan pada musim ini.
“Apa yang penting, saya perlu cukup bersedia, begitu juga pasukan yang pastinya akan menyediakan jentera terbaik kepada saya. Berbanding memikirkan gelaran keseluruhan, saya lebih suka untuk fokus kepada perlumbaan sahaja.”