Connect with:




Awal pagi tadi telah berlangsung saingan peringkat separuh akhir pertama Liga Europa yang menyaksikan Arsenal berjaya menewaskan Valencia dengan jaringan 3-1 di Stadium Emirates manakala, Chelsea berjaya mengikat Eintracht Frankfurt 1-1 di Stadium Commerzbank Arena.

Walaupun Arsenal berjaya menewaskan Valencia, peluang untuk kedua-dua pasukan untuk layak masuk terbuka kerana Arsenal bakal bertandang ke tempat lawan pula selepas ini. Valencia berjaya membawa pulang bekalan satu jaringan hasil jaringan Mouctar Diakhaby seawall minit ke-11.

Skuad kendalian Unai Emery kembali bangkit hasil dua jaringan Alexandre Lacazette pada minit ke-18 dan 26 dan satu jaringan daripada Pierre-Emerick Aubameyang pada minit-minit terakhir perlawanan.

Begitu juga dengan Chelsea dan Eintracht Frankfurt yang masih mempunyai peluang sama-rata untuk layak ke final Liga Europa di Baku.

Kedua-dua pasukan ini mempunyai kelebihan tersendiri dan mencatat rekod kelab. Chelsea pasukan yang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Europa musim ini sementara Eintracht Frankfurt mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.

Satu perlawanan menarik bakal berlaku di Stamford Brigde dengan kedua-duanya memiliki rekod yang baik dalam saingan Liga Europa musim ini.

Mengikut rekod, keempat pasukan ini pernah ke final Liga Europa. Chelsea, Valencia dan Eintracht Frankfurt berjaya menjulang Liga Europa sekali tetapi Arsenal hanya pernah menjadi naib juara selepas tewas kepada Galatasaray pada final tahun 1999-2000 menerusi sepakan penalti 4-1 selepas terikat 0-0 sehingga masa tambahan.

Kini, empat pasukan ini akan kembali berentap untuk saingan peringkat separuh akhir kedua pada 10 Mei ini untuk menentukan dua pasukan yang akan ke final Liga Europa di Baku yang akan berlangsung 29 Mei ini.

Foto : UEL Twitter