Connect with:




Pemanah wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh berpeluang cerah meraih pingat emas selepas melayakkan diri ke final acara compound individu pada pusingan pertama Piala Asia di Bangkok, Thailand.

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu layak ke final selepas menewaskan pemanah Singapura, Contessa Loh Tze Chieh 10-9 pada panahan penentuan setelah kedua-dua mereka terikat 144 mata, pada aksi separuh akhir.

Fatin akan berdepan Muskan Kirar pada aksi final esok setelah pemanah India itu mengetepikan saingan sengit wakil Iran, Seyedeh-Vida Halimianavval dengan keputusan 146-144 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Terdahulu, Fatin menewaskan rakan sepasukan, Nur Aina Yasmine Halim dengan keputusan 144-142 pada pusingan ketiga kejohanan berkenaan.

Dua lagi wakil negara, Saritha Cham Nong dan Nurul Syazhera Mohd Asmi pula tewas seawal pusingan kedua dan pertama, masing-masing kepada pemanah Kazakhstan, Diana Makarchuk (140-143) dan pemanah Filipina, Andrea Robles (134-139).

Sementara itu, dalam saingan compound lelaki, tiada wakil negara yang berjaya melayakkan diri ke final setelah tewas kepada lawan masing-masing pada pusingan awal serta suku akhir.

Wong Co Wan, M. Khambeswaran dan Syahrizan Jafar berjaya mara sehingga ke suku akhir sebelum tumpas kepada lawan masing-masing.

Wong tewas dengan keputusan 141-144 kepada pemanah Iran, Mohammad Saleh Palizban, Khambeswaran tewas kepada wakil India, Vedant Wankhade (144-146), manakala Syahrizan tewas dengan keputusan 142-145 kepada pemanah Vietnam, Nguyen Tien Cuong. – BERNAMA

Foto : BERNAMA