Connect with:




Liverpool optimis dalam misi memburu kemenangan penuh dalam perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Manchester City, hari ini.

Sementara itu, tonggak utama Liverpool, Mohamed Salah dijangka bakal dipertaruhkan dalam perlawanan tersebut selepas dia dilihat menjalani latihan bersama rakan-sepasukannya.

Ekoran dari kecederaan pangkal peha ketika pemain Mesir itu beraksi menentang City, Salah tidak dapat diturunkan dalam pertembungan derby menentang Everton.

Dia yang membantu The Reds menjaringkan satu gol melakar kemenangan 3-0 ke atas City dalam aksi suku akhir pertama telah mencetak 38 gol dalam semua kejohanan pada musim ini.

“Kemungkinan dia mungkin diturunkan, kemungkinan tidak. Kami tidak pasti. Namun, kita akan lihat nanti. Kami akan membuat keputusan sama ada Salah bermain atau tidak selepas berlatih,” kata bos The Reds, Jurgen Klopp.

Dalam pada itu, Jordan Henderson digantung perlawanan disebabkan mengutip kad kuning ketiga kejohanan tersebut sewaktu melakar kemenangan di Anfield pada minggu lalu sekaligus terlepas pertemuan penting di Etihad hari ni.

Walaupun Liverpool memiliki kelebihan dengan tiga gol di depan, namun Klop mengakui enggan menerima status sebagai pasukan pilihan.

“Kami masih ada kerja yang belum diselesaikan. Kami tidak berminat dengan status sebagai pasukan pilihan dan tidak mahu berfikir tentang itu,” tambah Klopp. – AFP

Foto Kredit: Liverpool FC