Connect with:




Raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan masih berpeluang beraksi pada Kejohanan Olahraga Tertutup Dunia 2018 yang dijadualkan berlangsung di Arena Birmingham, England dari 1 hingga 4 Mac tahun depan.

Khairul Hafiz yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100m dan 200m perlu melepasi had kelayakan ditetapkan pada Kejohanan Olahraga Tertutup Asia kelapan di Tehran, Iran pada Februari depan sekiranya berhasrat beraksi pada Kejohanan Dunia.

Sekiranya Khairul Hafiz melepasi had kelayakan di Tehran nanti, maka rayuan akan dibuat kepada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) supaya mempertimbangkan penyertaan beliau pada Kejohanan Dunia.

KOM juga memutuskan untuk memberikan tiket wildcard ke Kejohanan Dunia kepada atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail memandangkan tarikh tutup penyertaan kejohanan adalah pada 2 Dis lepas.

Berikut merupakan beberapa fakta tentang Raja Pecut Malaysia :

-Lahir pada 22 Julai 1998, beliau merupakan anak jati Kampung Berangan Enam, Umbai, Melaka.

-Anak kedua daripada tiga adik beradik

-Berketinggian 173 sentimeter.

-KL2017 merupakan penyertaan kali pertama Khairul Hafiz di Sukan SEA.

-Kejayaan Khairul Hafiz di Sukan SEA tahun ini menamatkan penantian 14 tahun emas dalam acara 100 meter.

-Khairul Hafiz juga merupakan pelari pecut keempat negara yang berjaya menawan emas dalam acara 100 meter selepas Nazmizan Muhammad (Vietnam, 2003), Gunaratnam Rajalingam (Bangkok, 1967) dan M. Jegathesan (Kuala Lumpur, 1965).

-Khairul Hafiz merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.18 saat di Sukan Malaysia (Sukma) ke-18, memecah rekod yang pernah dipegang Watson Nyambek (10.19s) yang dicatat pada 1998 iaitu tahun Khairul Hafiz dilahirkan.

 

Sumber : Bernama

Foto Kredit : Twitter ( @TeamMsia)