Pelbagai Aktiviti Bakal Meriahkan KL2017

Beberapa aktiviti menarik dirangka khusus untuk orang ramai bagi memeriahkan temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017).

Pihak penganjur giat menjalankan kerja pembinaan di lokasi penganjuran karnival yang berhampiran Stadium Nasional Bukit Jalil, dikenali sebagai ‘Rumah Malaysia’.

Pelbagai aktiviti seperti ‘outdoor gymnasium’, papan selaju, futsal dan aktiviti kanak-kanak bakal diadakan kepada pengunjung untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Difahamkan sebanyak 120 trak makanan (food truck) turut disediakan di sekitar kompleks untuk memudahkan urusan penyelenggaraan termasuk penjagaan kebersihan sekitar stadium.

Selain itu, pembinaan laluan berbumbung dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil ke semua stadium di Kompleks Sukan Negara menyelesakan orang ramai tanpa perlu memikirkan cuaca panas terik atau ketika hujan.

Turut disediakan kemudahan berbasikal di beberapa lokasi berhampiran Stadium Nasional Bukit Jalil dan Axiata Arena bagi memudahkan orang ramai beriadah atau bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.