Connect with:




Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia memberi ruang dan peluang kepada pelajar Sekolah Henry Gurney di Telok Mas untuk bersaing bagi merebut tempat dalam pasukan kebangsaan dan bergelar atlet negara.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sebelum ini mereka hanya diberi peluang untuk beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) dan ada diantara mereka yang mampu meraih pingat emas dalam acara tinju.

“Saya dimaklumkan terdapat seorang pelajar layak mewakili negara ke Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok, Thailand baru-baru ini namun mengikut undang-undang Thailand, seseorang tidak dibenarkan keluar negara jika masih menjalani hukuman.

“Oleh itu, saya akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengatasi masalah ini supaya dapat mengelakan kes sebegini berlaku lagi,” katanya selepas mengadakan lawatan ke sekolah itu. Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pengarah Penjara, Malaysia Datuk Zulkifli Omar.

Selain itu, Syed Saddiq juga berkata beliau akan menyerahkan gelanggang tinju yang dihadiahkan oleh juara tinju dunia, Manny Pacquiao kepada Sekolah Henry Gurney sebagai penghargaan dengan kesungguhan pelajar di sekolah tersebut.

“Mereka juga merupakan aset negara dan perlu memberi peluang untuk mereka mewakili negara dan melalui sukan adalah alternatif terbaik untuk membantu masyarakat terutamanya generasi muda,” katanya.

Seramai 61 pelajar Sekolah Henry Gurney terlibat dalam program KBS iaitu 25 pelajar dalam acara tinju, 18 pelajar dalam acara angkat berat dan 18 pelajar lagi dalam acara Muay Thai.

Dalam masa yang sama, Syed Saddiq juga berkata KBS akan berusaha dalam membantu menambahkan kemahiran pelajar Sekolah Henry Gurney melalui projek rintis bersama Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) yang bakal dilaksanakan bulan depan.

“Kami akan melancarkan projek rintis dengan IKTBN Chembong, Negeri Sembilan dan ke seluruh negara. Ini bertujuan untuk membantu belia yang berisiko untuk terus maju ke hadapan,” jelas Syed Saddiq. – BERNAMA

Foto : BERNAMA