Pasukan kurang publisiti, PDRM, melonjak ke puncak Liga Perdana buat sementara waktu selepas tamat aksi kelima liga semalam. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, menyaksikan PDRM mengalahkan pasukan kelompok bawah liga, Perlis dengan keputusan 4-2.

Penyerang, Khairul Izuan Abdullah menjadi wira PDRM apabila menjaringkan keempat-empat gol buat pasukannya dan membuatkan Perlis terus dirundung malang kerana masih tercari-cari kemenangan pertama liga.

Singa Utara yang pada awalnya mendahului perlawanan dengan dua gol jaringan Mohd Rizal Mohd Ghazali minit ke-4 dan Mohd Khairul Ramadhan (18’) akhirnya tunduk apabila Khairul Izuan mula menemui sentuhan jaringan pada minit ke-24, 27, 56 dan 88.

Beraksi di laman sendiri gagal digunakan sebaiknya oleh Pos Malaysia apabila tewas 2-3 kepada NS Betaria dalam aksi yang berlangsung di Stadium MP Selayang. Ketinggalan dua gol hasil jaringan minit ke-6 dan 10, Pos Malaysia kembali merapatkan jurang menerusi jaringan pada minit ke-41.

NS Betaria memperolehi gol ketiga pada minit ke-78, dua minit selepas pemain Pos Malaysia dilayangkan kad merah. Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Pos Malaysia berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke 83 namun tidak mampu menyekat NS Betaria memperolehi mata penuh dan kemenangan pertama mereka.

Sementara itu, Harimau Muda B yang berkunjung ke Stadium USM untuk menentang Universiti Sains Malaysia (USM FC) tewas 1-3 kepada tuan rumah. Walaupun ketinggalan seawal minit ke-7 menerusi jaringan Mohd Norhamizaref Hamid, USM bangkit menerusi jaringan S. Veenod minit ke-36 dan Mohd Faizat Mohd Ghazli dua minit kemudian. S. Veenod terus menambah defisit jaringan untuk gol ketiga USM pada minit ke-59.

Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor mengejutkan lawannya, Sime Darby FC dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan Fahruzzahar Ali minit ke-14 dan Mohd Hamzani Omar (55’). Sime Darby sebelum itu mendahului perlawanan menerusi jaringan pemain import mereka, Sengbah Kennedy minit ke-7. Johor kekal belum tewas dalam lima aksi liga setakat ini.

Pertembungan dua pasukan dari selatan tanahair di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, berpihak kepada Majlis Perbandaran Muar (MP Muar) apabila menewaskan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB FC) dengan keputusan 5-3. Walaupun mendahului seawal minit ke-9, MBJB FC terus tenggelam apabila MP Muar menjaringkan lima gol berturut-turut menerusi dua gol Mohd Alafi Mahmud (51’ dan 70’), Mohd Syaiful Sabtu (76’), Mohd Azuwad Arip (90’) dan Abd Rayjal Abd Jalil (91’). MBJB FC berjaya mencuri satu gol lagi sebelum wisel penamat dibunyikan.

Perubahan kelompok teratas liga dijangkakan sementara apabila dua pasukan teratas iaitu Pahang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat perhitungan mereka minggu depan. Buat masa ini, PDRM mendahului carta liga dengan 11 mata diikuti Pahang dan USM FC yang berkongsi 10 mata. Pahang dan ATM masih kurang satu perlawanan.

Selain itu, satu aksi Liga Super turut berlangsung semalam menyaksikan Sabah dan PKNS FC terpaksa berkongsi satu mata dengan keputusan seri 2-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. PKNS terlebih dahulu mendahului perlawanan dengan dua gol hasil jaringan pemain import mereka, Dawood Nicoise pada minit ke-43 dan 51.

Namun, Sabah bangkit untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan penyerang, Michael Baird minit ke-73 dan Shaharuddin Yaakub sembilan minit sebelum perlawanan tamat. Kegagalan PKNS mempertahankan kelebihan jaringan tersebut menyaksikan mereka belum lagi mencatat sebarang kemenangan dengan seri dalam empat perlawanan berturut-turut.