Connect with:




FootGolf Malaysia (FGM) bakal mencatat sejarah tersendiri dengan penyertaan pasukan rasmi FootGolf Malaysia untuk bertanding di Yamaha Piala Asia FootGolf 2019 (kali ke-3 dalam sejarah) yang bakal berlangsung dari 18 hingga 22 November di Horizons Golf Resort, Port Stephens, NSW
Australia.

Kapten pasukan lelaki kebangsaan, Jeffrey Dean Abdul Daud @ Cottam dan kapten pasukan wanita, Steffi Sidhu @ Sarge Kaur, bakal mengetuai cabaran Malaysia untuk bersaing dengan bakat-bakat handal FootGolf dari serata Asia Pasifik (Jepun, China, Taiwan, Korea, Australia dan
New Zealand). Kedua-dua pasukan bakal bertanding secara individu dan berpasukan menerusi tiga kategori: Lelaki, Wanita dan Senior.

FGM, berpangkalan di Pusat Golf Bukit Jelutong, Selangor merupakan badan pentadbir untuk sukan FootGolf di Malaysia dan juga merupakan ahli eksklusif Persekutuan Antarabangsa FootGolf (FIFG). FGM berusaha untuk mempromosi dan membangunkan sukan tersebut di
Malaysia dengan menggalakkan penyertaan di peringkat sosial, akar umbi dan juga kompetitif.

FootGolf merupakan sebuah sukan antarabangsa yang dikawalselia oleh FIFG – www.fifg.org.

Kejohanan serantau (Piala Asia) dan dunia (Piala Dunia) diadakan secara dwitahunan sejak 2012. Piala Dunia FIFG 2020 yang mendatang bakal berlangsung di Jepun.

“Kami mensasarkan kedudukan tiga terbaik,” kata Jeffrey.

“Ini merupakan saat yang membanggakan bagi kami. Semasa kami bermula tidak lama dahulu, matlamat kami untuk menyertai Piala Dunia FootGolf. Oleh itu, Piala Asia ini satu permulaan dan batu loncatan bagi
kami untuk mencapai matlamat tersebut.”

Penyertaan bersejarah FGM ke Yamaha Piala Asia FootGolf 2019 turut dikuasakan oleh Rhino (Asia Tenggara) sebagai rakan rasmi. Sebagai sebuah jenama antarabangsa, Rhino (Asia Tenggara) komited untuk membawa FGM selangkah ke peringkat terbaik dengan sokongan padu
dari luar lapang hijau.

“Kami amat berbangga untuk menjadi rakan rasmi FGM untuk usaha bersejarah ini. Kami berharap ini permulaan sebuah hubungan yang baik antara Rhino dan FGM, bukan hanya untuk Piala Asia ini, malah dalam mencapai misi dan visi mereka,” ujar Aza Zhafran, Pengurus Rhino (Asia Tenggara).

FootGolf adalah kombinasi dua sukan berbeza, iaitu bolasepak dan golf. Peraturan FootGolf adalah sama seperti golf.

Objektifnya adalah untuk memastikan bola bersaiz 5 masuk ke dalam lubang (21 inci) dalam jumlah sepakan terendah.