Selain daripada jadual latihan fizikal yang diterapkan, amalan kerohanian juga menjadi salah satu faktor kejayaan pasukan ragbi 7 sebelah pasukan negara meraih emas tempoh hari.

 

Ketua Pasukan Ragbi 7 negara, Zulkiflee Azmi berkata, pasukannya akan memulakan hari latihan dengan solat secara berjemaah ketika menjalani program latihan pusat yang bertempat di Universiti Putra Malaysia, Serdang.

 

“Alhamdulillah setiap hari kami akan bangun pukul 6 pagi dan akan solat Subuh secara berjemaah sebelum bergerak ke dewan makan untuk sarapan dan pada malamnya kami akan berjemaah untuk Maghrib dan Isyak, saya rasa salah satu faktor yang menyebabkan kami menjadi kuat fizikal dan mental adalah kami sering mengamalkan aktiviti rohani seperti ini,’’ katanya ketika ditemuramah secara ekslusif oleh wartawan Dunia Sukan semalam.

Zulkiflee berkata, program latihan yang disusun oleh jurulatih secara intensif sejak bulan November dan juga program persediaan yang bertempat di New Zealand banyak membantu skuadnya memenangi pingat emas untuk Sukan Sea 2017.

 

Malaysia menewaskan Singapura dengan mata 22-7 pada perlawanan akhir ragbi 7 sebelah untuk menamatkan kemarau 22 tahun emas untuk sukan itu.

 

Foto kredit : Malaysia Rugby Union