Connect with:




Pelumba kebangsaan, Shukor Farhan Suliman, 22, kini memasang impian untuk menaiki podium di Sukan Para Asia Jakarta 2018 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 selepas melakar kejayaan menang emas dalam acara kejar-mengekar basikal individu di Sukan Para ASEAN 2017.

Sebagai permulaan dan pembuka tirai 2018, Shukor Farhan, kini sedang membuat persiapan rapi bagi mewakili Malaysia dalam acara trek kejar mengejar dan ujian masa individu sempena Kejohanan Lumba Basikal Asia 2018 (ACC 2018) di Velodrom Nasional, di Nilai, Negeri Sembilan, pada Februari ini.

Shukor menegaskan dia perlu berusaha keras dan menjalani latihan lebih awal bagi memastikan kecergasannya sentiasa berada di tahap terbaik sekali gus mencerahkan peluang merebut slot ke Sukan Para Asia 2018

“Buat masa sekarang fokus utama saya adalah untuk merangkul podium kerana tidak tahu sejauh mana keupayaan, prestasi dan kehebatan pelumba dari seluruh negara Asia lain yang berentap di ACC 2018 nanti.

“Biarpun masih terlalu awal untuk menetapkan sebarang sasaran namun saya akan melakukan yang terbaik andai kata dipilih mewakili negara ke Sukan Para Asia 2018,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Pelumba basikal para berasal dari Muar, Johor itu menegaskan kemenangannya di ACC dan Sukan Asia 2018 penting bagi membolehkannya mengumpul sebanyak mungkin mata untuk memastikannya layak ke Sukan Paralimpik 2020.

Kelibat Shukor mula mencuri tumpuan peminat sukan negara selepas pelumba berusia 22 tahun itu menghadiahkan kilauan emas dalam acara 3km kejar mengejar individu (C1, C2, C3) campuran di Sukan Para ASEAN 2017, sekali gus menyaksikan kesemua pingat dibolot pasukan trek Malaysia.

Sumber: Harian Metro