Kemalangan yang berlaku tempoh hari tidak mematahkan semangat skuad basikal lebuh raya negara dalam meraih pingat emas bagi temasya Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur semalam.

Perasaan putus asa terhadap temasya sukan kali ini dirasai oleh Khairul Azwan Wahab apabila dia dan pasukan termasuk jurulatih Johari Nayan terlibat di dalam kemalangan jalan raya semasa berlatih di Lebuhraya Latar, Rawang, 7 September lalu.

“Fobia dan sakit yang dialami akibat kemalangan terpaksa saya tahan ketika saya bertanding. Alhamdullilah semuanya berjalan dengan lancar dan kami berjaya menyumbangkan emas buat negara”.

Khairul Azwan bersama pelumba gantian kedua, Muhd Rauf Nur Misbah berjaya menghadiahkan emas dalam acara  ujian masa individu lelaki kategori buta tandem (basikal dua tempat duduk).

Mereka berdua berjaya menamatkan pengayuhan sepanjang 12.3km dengan catatan masa 33:13:877 meninggalkan pencabar dari Singapura, Jessen Ng-Calvin Sim (34:34:832) dan Tee Wee Leong-Ang Kee Meng (35:10:352).

“Kemenangan ini bukan sahaja untuk saya tetapi untuk rakan sepasukan saya Rizuan yang sepatutnya beraksi dengan saya hari ini.

“Saya ingin menghadiahkan pingat untuk Malaysia, saya tahu bahwa ramai yang mendoakan kesihatan kami ketika kemalangan pada dua minggu lepas”, katanya.

Skuad negara tampil garang dengan mengaut tujuh pingat emas dan terpaksa melepaskan tiga emas dalam acara yang diwarkan pada temasya kali ini.

Foto Kredit: Majlis sukan Negara