Connect with:




Sukan Para SUKMA atau dikenali dengan nama Sukan Paralimpiad (sebelum penjenamaan semula) yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 28 Oktober ini di Perak akan ditunda kepada satu tarikh baru Disember nanti.

Menurut laporan akhbar Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Howard Lee dalam satu sidang media semalam memberitahu bahawa segala perancangan yang sedia ada perlu dirombak kembali.

“Pihak kami baru saja menerima makluman bahawa akan ada anjakan tarikh ke bulan 12 nanti, jadi segala perancangan harus dipinda kembali bergantung kepada kekosongan tempat penginapan.

“Perbincangan terperinci akan diadakan kelak kerana sebagai tuan rumah pastinya keselesaan semua atlet bertanding adalah keutamaan kami dan ini adalah satu kejohanan yang besar di negara kita,” kata Howard ketika ditanya mengenai tempat penginapan yang bakal diduduki atlet istimewa nanti.

Tuan rumah (Perak) pada temasya edisi ke-19 ini menganjurkan pertandingan di semua 12 daerah dan menempatkan kontinjen mengikut venue pertandingan masing-masing di mana ianya membabitkan 18 tempat penginapan.

“Jika saya yang diberi mandat membuat keputusan dari awal, saya akan fikirkan kos terlebih dahulu kerana jika melibatkan semua 12 daerah pastinya menelan belanja yang besar tapi jika separuh daripada 12 adalah lebih baik,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Nur Ramziyah Muhammad Halil memberitahu bahawa pihaknya memang tidak dapat menyelaraskan tahap penginapan buat semua atlet di kesemua 18 lokasi penginapan pada kejohanan kali ini.

“Tidak semua daerah mempunyai universiti atau kolej, agak sukar untuk mendapatkan tahap penginapan yang sama jadi standard itu kita tidak boleh label satu kelas,” ujar Nur Ramziyah.

Beliau memberitahu apa yang berlaku di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Ipoh melibatkan pasukan badminton lelaki yang menghadapi perubahan drastik berikutan keadaan penginapan di Sekolah Izuddin Shah tidak bersesuaian.

Cadangan untuk berpindah ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak Kampus Tapah juga tidak dipersetujui skuad badminton atas alasan jauh dari lokasi bertanding.

“Perubahan drastik di ILP itu memaksa kita melakukan pemindahan segera, agak terkejut kerana sebelum ini kami telah maklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) agar memeriksa keadaan tandas namun masih ada kerosakan dan 15 tandas bergerak telah dihantar hari ini (semalam),” jelasnya lagi.