Connect with:




Pasukan ragbi wanita 7 sepasukan kebangsaan; Panthera Ladies mengutip pengalaman yang amat bermakna di tempat sendiri setelah mengharungi 6 perlawanan bertaraf antarabangsa bersama Hong Kong Women development VIIs, SG Select dan DAC Laos Nagas pada 13 dan 14 Julai lalu. Perlawanan bersempena penganjuran MBPJ-KRS Wanita 7 Sepasukan di padang Astaka, Petaling Jaya juga turut memberi tambah nilai buat pasukan kebangsaan apabila secara tidak langsung menjalin hubungan dengan pihak Hong Kong Rugby Union untuk program latihan bersama.

Hasil rundingan dan reputasi yang baik di antara kedua-dua pasukan ini, pada 28 Julai 2019, pasukan ragbi kebangsaan wanita 7 sebelah  bertolak ke Hong Kong untuk program latihan bersama selama 5 hari. Peluang terbaik ini sekaligus menjadi serampang dua mata bagi pasukan ragbi kebangsaan wanita dalam persiapan pasukan berbaki kurang dari dua bulan untuk menghadapi siri kempen Kejohanan Ragbi Asia Wanita 7 Sepasukan 2019 (Asia Rugby Women’s Sevens Series 2019) yang akan bermula tidak lama lagi.

Incheon, Korea menjadi destinasi pembuka gelanggang bagi siri pertama Kejohanan Ragbi Asia Wanita 7 Sepasukan 2019 pada 31 Ogos – 1 September 2019 nanti. Seterusnya pasukan ragbi kebangsaan wanita 7 sebelah akan bertandang ke Huizhou, China pada 14-15 September 2019 sebelum singgah ke Sri Lanka untuk destinasi terakhir pada 28-29 September 2019 sekaligus menamatkan ketiga-tiga siri kempen kejohanan ragbi wanita peringkat Asia ini.

Untuk rekod, pasukan ragbi kebangsaan wanita 7 sebelah telah memberi kejutan untuk muncul juara Trofi Ragbi Asia 7s Wanita edisi lalu di Brunei setelah menewaskan pasukan pilihan iaitu Filipina. Kejayaan tertinggi ini meletakkan pasukan ragbi kebangsaan wanita 7 sebelah di tempat ke-8 tangga kedudukan Asia melayakkan untuk berentap dalam kejohanan yang lebih tinggi iaitu Siri Kejohanan Ragbi Asia Wanita 7 Sepasukan 2019. Sebahagian dari pemain ragbi wanita ini juga merupakan pemain yang berjaya mencipta sensasi di pentas temasya Sukan SEA KL 2017 lalu.

Selain mengharungi kempen Kejohanan Ragbi Asia Wanita 7 Sepasukan 2019, pasukan ragbi kebangsaan wanita 7 sebelah juga dalam misi untuk ke pentas Sukan SEA Filipina 2019 nanti.

“Pasukan ragbi wanita Malaysia sekarang ini berada di landasan yang betul. Latihan bersama pasukan ragbi wanita Development Hong Kong dan juga beberapa perlawanan ujian menentang kelab-kelab termuka. Ini adalah satu peluang yang baik memberi impak positif kepada pemain-pemain kita.”; Ketua Jurulatih – Nik Safuan Ismade Bin Nik Man

“Ini adalah satu peluang yang amat berharga bagi pasukan kami kerana dengan adanya penyertaan dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa kami dapat menimba pengalaman untuk meningkatkan lagi mutu permainan dan prestasi pasukan.”; Kapten pasukan – Rozliana Mohd Ridwan

TARIKH-TARIKH KEJOHANAN
31 Ogos – 1 September 2019 – Incheon, Korea
Siri 1 Kejohanan Ragbi Asia Wanita 7 Sepasukan 2019

14-15 September 2019 – Huizhou, China
Siri 2 Kejohanan Ragbi Asia Wanita 7 Sepasukan 2019

28-29 September 2019 – Sri Lanka
Siri 3 Kejohanan Ragbi Asia Wanita 7 Sepasukan 2019

 

FOTO KREDIT: FAIZ AZIZAN