Kontinjen Malaysia ke Sukan Universiti Asean (AUG) Laos 2012 menerima tamparan awal selepas kehilangan khidmat beberapa atlet kebangsaan termasuk ratu terjun negara, Pandelela Rinong.

Pandelela terpaksa menarik diri kerana perlu menghadirkan diri pada 1 upacara penganugerahan di Kuala Lumpur dimana tarikh tersebut bertembung dengan tarikh berlangsungnya acara beliau.

Walaubagaimanapun, ketua kontinjen negara, Prof Dr. Yahaya Ibrahim tetap optimis Malaysia mampu mencapai sasaran 36 pingat emas yang telah ditetapkan.

“Walaupun tanpa Pandelela dan atlet-atlet sandaran yang lain, kita masih mampu mecapai sasaran dengan adanya atlet-atlet sedia ada terutamanya dari sukan yang dijangka menjadi lubuk emas buat kita seperti akuatik, olahraga dan memanah”. kata Dr.Yahaya.

Nada yang sama turut dipersetujui Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Hou Kok Chung.

“36 pingat emas ini adalah sasaran yang realistik. Kita tidak mahu beri tekanan yang terlampau besar kepada atlet negara.

“Kita dapat lihat peningkatan prestasi atlet-atlet KPT dalam beberapa kejohanan sukan sebelum ini. Saya harap mereka akan beraksi dengan baik sekaligus dapat mengharumkan nama negara di Laos nanti” kata Kok Chung pada sesi penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia yang berlangsung di UPM.

Sementara itu bagi penerjun negara, Leong Mun Yee yang turut menjadi pembawa bendera negara, beliau sudah bersedia untuk beraksi di Laos sekaligus membawa pulang pingat emas untuk negara.

“Saya jangka Filipina akan beri cabaran dalam acara terjun tetapi saya berjanji akan melakukan aksi terbaik demi kontinjen Malaysia nanti” kata Mun Yee.

AUG 2012 di Laos akan bermula pada 12 hingga 22 Disember ini dengan Malaysia menghantar seramai 306 atlet bertanding dalam 19 jenis sukan yang dipertandingkan.