KUALA LUMPUR, 8 NovĀ  — Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg kini hanya menjalani latihan ringan ekoran kecederaan buku lali kiri yang dialami semasa menjalani latihan di sini belum pulih sepenuhnya.

Pandelela berkata walaupun kecederaan yang dialaminya itu memerlukan tempoh yang lama untuk pulih, beliau kini giat melakukan latihan ringan untuk menghadapi Sukan Universiti Asean (SUA) 2012 di Laos pada Disember.

“Sekarang saya hanya lakukan latihan ringan kerana kecederaan yang saya alami memerlukan jangka masa yang panjang untuk pulih sepenuhnya, tidak seperti kecederaan lepas.

“Memandangkan kini saya adalah seorang pelajar universiti dan dalam masa yang sama perlu terus menjalani latihan, masa untuk saya berehat tidak banyak dan ia memberi kesan untuk kecederaan pulih,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kenderaan SUV Chevrolet Captiva kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan skuad terjun di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Pada majlis itu, dua Chevrolet Captiva diserah oleh Naza Quest Sdn Bhd kepada MSN dan skuad terjun negara sebagai tanda penajaan selama empat tahun bagi membantu skuad terjun negara dalam pengurusan logistik untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik Rio de Janeiro pada 2016 di Brazil. Pandelela berkata sehingga akhir tahun ini tiada kejohanan besar yang akan disertainya selain SUA 2012.

“Saya hanya akan sertai SUA 2012 Laos bulan depan tetapi jumlah acara yang akan saya sertai belum diputuskan,” kata penuntut Tahun Pertama Sains Sukan Universiti Malaya itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Naza Quest, Datuk Maruan Mohd Said berkata keputusan menaja dua Chevrolet Captiva itu sebagai galakan dari sektor swasta untuk atlet negara. – BERNAMA.