Kapten pasukan Terengganu, Faizal Muhammad cuba menghalang bekas rakan sepasukan, Francis Doe yang kini bermain untuk Selangor dalam pertemuan Liga Super 2013 di Kuala Terengganu

Kapten pasukan Terengganu, Faizal Muhammad cuba menghalang bekas rakan sepasukan, Francis Doe yang kini bermain untuk Selangor dalam pertemuan Liga Super 2013 di Kuala Terengganu

Pahang mengekalkan rekod sempurna mereka musim ini apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Kemenangan ketiga berturut-turut itu dicapai melalui jaringan yang dilakukan oleh Fauzi Roslan di minit ke 27 selepas menerima hantaran daripada pemain kebangsaan Azamudin Akil.

Pahang terus menguasai permainan di separuh masa kedua dan berjaya menjaringkan gol pada minit ke 76 apabila Mohamad Faizol Hussin berjaya melepaskan diri dari kawalan pemain pertahanan Negeri Sembilan untuk menewaskan penjaga gawang Sang Rusa, Hamsani Ahmad.

Menuju akhir perlawanan, pelawat mengambil kesempatan di atas kelekaan pasukan Pahang dan berjaya mendekatkan jurang jaringan apabila rembatan pemain Piala Presiden mereka, Rahizi Rasib mengenai pemain Tok Gajah, Hazri Rozali dan terus menewaskan penjaga gol, Nasril Nourdin. Namun Tok Gajah berjaya mengekang asakan seterusnya dari pemain-pemain Negeri Sembilan untuk mengutip mata ke enam mereka musim ini untuk terus mendahului carta Liga Super.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula memanjat ke tangga kedua selepas berjaya membenam cabaran PBDKT T-Team 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Jaringan-jaringan ATM hadir melalui Shukor Adan, Rezal Zambery Yahya dan Marlon Alex James. Ianya jaringan ke empat James dalam dua perlawanan terakhir.

Kemenangan 2-1 Selangor ke atas Terengganu dalam perlawanan yang dilangsungkan petang tadi menyaksikan anak-anak buah Irfan Bakti memintas Lions XII di tempat ketiga. Dua orang bekas pemain Sang Penyu, Sharbinee Allawee dan Francis Doe turun menentang pasukan lama mereka.

Doe bermain dengan gaya agresifnya yang selalu dilihat musim lepas dan berjaya membantu Selangor membuka jaringan apabila lorongannya disambut oleh Kunanlan Suppiah yang mudah menewaskan Wan Azraei di pintu gol Terengganu pada minit ke tujuh. Gol itu berpunca apabila Farderin Kadir kehilangan bola selepas satu serangan Terengganu berjaya dipatahkan.

Amri Yahyah kemudiannya melebarkan jaringan dengan satu rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke 17 apabila Terengganu gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Namun Effa Owona berjaya merapatkan jurang jaringan seminit kemudian dengan satu rembatan cantik selepas berjaya mengenepikan cabaran beberapa orang pemain Selangor.

Kegagalan Terengganu mencipta peluang untuk menjaringkan gol memudahkan tugas Selangor yang berjaya mencatatkan kemenangan pertama di tempat lawan musim ini sementara Sang Penyu masih mencari kemenangan pertama mereka.

Di Stadium Shah Alam pula, Lions XII yang berjaya menewaskan Selangor pada hari Sabtu dikejutkan oleh sebuah lagi pasukan negeri itu, PKNS. Anak-anak buah V Sundram Moorthy ditewaskan oleh jaringan yang dilakukan oleh Nazrin Syamsul Bahri pada minit ke 77 dan kini jatuh ke tempat ke empat carta Liga Super sementara PKNS berjaya meloloskan diri dari tempat tercorot.

Kelantan dan Darul Takzim pula tidak dapat dipisahkan selepas perlawanan mereka di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu berkesudahan dengan jaringan 1-1. Nor Farhan Muhammad membuka jaringan untuk pasukan tuan rumah namun Daniel Guiza melenyapkan impian Sang Kijang untuk mengutip mata penuh dengan jaringan penyamaan.

Kedua-dua pasukan kini mengutip empat mata dengan rekod permainan dan perbezaan jaringan yang sama. Hanya kelebihan jaringan gol sahaja menyaksikan Harimau Selatan berada di tempat ke 5.

Turut mengutip empat mata ialah Felda United yang berjaya mengejutkan Perak di Stadium TLDM, Lumut. Tiga mata berharga buat ketua jurulatih, Devan Kuppusamy itu hadir selepas jaringan Azmizi Azmi menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan di akhir perlawanan.

Terengganu dan Negeri Sembilan kini menghuni dua tangga terbawah Liga Super dengan masing-masing masih gagal mencatatkan sebarang kemenangan dari tiga perlawanan awal mereka, suatu keadaan yang pastinya memberi tekanan ke atas ketua jurulatih kedua-dua pasukan, Elavarasan Elangowan (Terengganu) dan Divaldo Alves (Negeri Sembilan).