Selepas memungut empat emas dalam acara Silat Seni, juara bertahan Pahang di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan Kejohanan Silat Kebangsaan pada edisi ke-16 di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras.

Selepas melihat empat pingat dikutip dalam acara Silat Seni, lapan atlitnya melangkah ke peringkat separuh akhir acara Silat Olahraga pada hari kedua, semalam.

Ketua Jurulatih Kebangsaan/Pahang, Mohamad Hamidi Mohamad berkata, berdasarkan persiapan atlit negeri itu dan pemerhatian selepas dua hari pertandingan, Pahang dijangka mampu menambah banyak pingat apabila pertandingan akhir Silat Olahraga dan Berpasukan diadakan hari ini dan esok.

“Gabungan pesilat lama yang berpengalaman dan pesilat baru yang dipersiapkan untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma), kami yakin akan menambah beberapa pingat emas lagi, seterusnya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut,” kata Mohamad Hamidi.

Pahang muncul juara keseluruhan selepas menguasai tiga edisi lalu pada 2006, 2008 dan 2010.

 


Bagaimanapun, dia yakin Pahang tidak akan diberi laluan mudah kerana pasukan negeri lain juga dilihat menunjukkan banyak peningkatan dalam acara Olahraga dan Seni pada peringkat awal dan suku akhir, hari ini.

Menurutnya, kejohanan edisi ke-16 kali ini juga mempamerkan kualiti persaingan yang tinggi, mungkin kerana persiapan pasukan negeri lain untuk memberi pendedahan kepada atlit mereka bagi menghadapi temasya Sukma di Pahang, Julai nanti.

Mohamad Hamidi yang juga menganggotai panel kejurulatihan kebangsaan, berkata Pahang sendiri mempunyai ramai pesilat muda berbakat dan boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa depan.

“Sebagai jurulatih Pahang dan kebangsaan, pesilat wanita Azlina Abdul Aziz (Putri BB), Amir Ikram Rahim (Putra C) dan Ahmad Shahriduan Zailudin (Putra D) saya lihat mempunyai potensi yang besar untuk mewakili skuad kebangsaan ke Sukan Sea dan Kejohanan Dunia,” katanya.

Kejohanan edisi yang dianjurkan PESAKA Kuala Lumpur kali ini juga menyaksikan pembaharuan baru dengan penggunaan sistem permarkahan digital yang membolehkan pesilat dan jurulatih mengatur strategi ketika bertarung di gelanggang.

“Saya percaya, sistem pemarkahan seperti ini akan banyak membantu meningkatkan mutu silat dan mengelak kontroversi,” kata Mohamad Hamidi.