Lima perlawanan Liga Perdana berlangsung malam tadi dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pahang gagal mengutip mata penuh apabila terikat dengan lawan masing-masing. Walaubagaimanapun, penguasaan liga tetap milik dua pasukan ini kerana perbezaan mata yang jauh dari pasukan di kedudukan ketiga liga iaitu Sime Darby FC yang juga sekadar mengutip satu mata di tempat lawan.

Pendahulu liga, ATM nyaris tewas di tangan Majlis Perbandaran Muar (MP Muar) apabila ketinggalan di babak pertama. Aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-11 menerusi Mohd Ezaidy Khadar sebelum disamakan pada minit ke-16 menerusi jaringan A. Varathan.

ATM sekali lagi ketinggalan apabila Khairul Anwar Shahruddin menjaringkan gol kedua dan kedudukan kekal sehingga tamat babak pertama. Pada minit ke-65, Mohd Zaquan Adha muncul sebagai penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan hasil sepakan percuma Azmi Muslim seterusnya mengikat kedudukan sehingga tamat perlawanan.

Beraksi tanpa dua penyumbang gol utama, Hairuddin Omar dan Marlon Alex James mungkin sedikit mengganggu rentak ATM namun mereka masih gah di takhta ketika ini dengan 22 mata, dua mata di depan pencabar kejuaraan, Pahang.

Di Stadium MP Selayang, gol minit-minit akhir Eduard Sakhvenic telah menyelamatkan maruah Pahang seterusnya mengikat Pos Malaysia dengan keputusan 1-1. Pos Malaysia terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mohd Fakhrul Aiman pada minit ke-50.

Harimau Muda B terus buntu mencari kemenangan sulung apabila tewas 2-3 ditangan NS Betaria di Stadium Hang Tuah, Melaka. Gol Harimau Muda B dijaringkan oleh Muhd Akhir Bahari dan Muhd Farizzuan Azhar sementara gol NS Betaria pula hasil jaringan Ijezie Michael pada minit ke-50 dan 71 serta L. Rajesh di penghujung aksi. Ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut buat NS Betaria.

Sementara itu, Sime Darby gagal bertahan sehingga ke penghujung masa apabila PDRM berjaya menjaringkan gol penyamaan lima minit menuju penamat dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Pelawat terlebih dahulu di depan hasil jaringan Patrick Wleh pada minit ke-2 sebelum disamakan oleh Khairul Izuan Abdullah.

Khairul Anwar Idris menjadi wira buat USM FC di Stadium Olahraga USM apabila menjaringkan dua gol untuk pasukannya mengatasi Johor 2-1 dengan gol pada minit ke-70 dan 80. Gol saguhati pelawat diperolehi menerusi jaringan Mohd Hamzani Omar pada penghujung perlawanan.

Satu aksi Liga Super turut berlangsung dengan PKNS FC berjaya mengikat Felda United dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Hang Jebat, Melaka. Walaupun menguasai perlawanan, Felda United gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri.