Connect with:




Berikutan permohonan peletakan jawatan presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang dihantarnya semalam, mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif PAFA memutuskan untuk menolak permohonan tersebut.

Menjawab tentang isu berkenaan, Naib presiden merangkap Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad memberitahu PAFA akan memberi tempoh selama 14 hari kepada Hasnul sebagai tempoh bertenang selain dapat mempertimbangkan keputusan sebulat suara oleh barisan Exco.

PAFA yang akui masih menagih khidmatnya untuk memacu persatuan bola sepak pada musim depan turut tidak menafikan kelebihannya sebagai ahli politik yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri.

“Masa yang diberikan ini berdasarkan kondisi yang tidak menentu membabitkan dirinya. Kami masih memerlukan beliau kerana melihat pelan induk (blueprint), kesungguhan dan misinya untuk pasukan bola sepak Perak,‚ÄĚ katanya.

Sebelum ini, Hasnul yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong mengejutkan ramai pihak selepas mengumumkan peletakan jawatannya Khamis lalu kerana menerima kritikan banyak pihak termasuk penyokong atas kelakuannya yang tidak menghormarti Piala Malaysia yang dimenangi Perak Oktober lepas.

Dalam pada itu, mesyuarat yang berlangsung semalam juga turut menerima surat peletakan jawatan Timbalan Presiden, Datuk Adly Shah Ahmad Tah yang ingin melepaskan jawatannya Khamis lalu.

Antara faktor utama, Adly Shah mahu fokus sepenuhnya terhadap kerjaya dan perniagaannya menyebabkan PAFA akur dengan permohonannya itu.