Connect with:




Kalau dulu, Khairul Hafiz Jantan amat sinonim sebagai raja pecut negara, kali ini tumpuan berkenaan diberikan kepada atlet berdarah campuran Malaysia-Australia, Russel Alexander Nasir Taib yang mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara 200m pada Kejohanan Trek Klasik Queensland di Brisbane, Australia, pada Sabtu.

Biarpun menyandang pingat perak, penuntut University of the Sunshine Coast berusia 21 tahun itu berjaya merekodkan kepantasan 20.77 saat, sekali gus memadam rekod terdahulu iaitu 20.90 saat yang dicipta raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017.

Taib bagaimanpun masih belum puas meskipun berjaya meleburkan rekod kebangsaan acara 200 meter (m) lelaki milik Khairul Hafiz Jantan, semalam.

Atlet berusia 21 tahun yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1998 sebelum berhijrah ke Hobart, Australia pada usia tiga tahun itu mengakui semangatnya makin membara untuk melakukan larian lebih pantas selepas ini.

“Saya gembira dengan peningkatan prestasi saya dan mencipta pencapaian peribadi terbaik serta rekod kebangsaan yang baharu,” kata Russel.

Dalam pada itu, presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim memaklumkan KOM akan menawarkan wang tunai berjumlah RM21,000 iaitu RM20,000 untuk elaun latihan selama dua tahun selain RM1,000 kerana memecahkan rekod kebangsaan.

“Kita akan berusaha mendapatkan penajaan untuk membantu beliau memandangkan beliau tidak mendapat sebarang bantuan kecuali sedikit bantuan daripada Kerajaan Negeri Perak pada Sukma (Sukan Malaysia) 2018.

Russel yang memasang impian untuk mewakili Malaysia ke Kejohanan Olahraga Asia di Doha pada April dan temasya Sukan SEA di Filipina, November ini.

“Saya harap terpilih untuk larian 200m kerana ia adalah acara kegemaran saya. Buat masa ini fokus saya adalah untuk meningkatkan catatan masa dalam acara 100m dan 200m bagi membolehkan saya mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menariknya, Russel yang berpangkalan di Australia dikendali jurulatih wanita yang pernah dua kali layak beraksi di pusingan final Sukan Olimpik dalam acara 200m – Denise Boyd.

Selepas ini, Russel bakal berdepan cabaran sukar dalam saingan Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur dalam acara 100m dan 200m yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

Foto: Russel Alexander Nasir Taib