Connect with:




Seorang pengadil dari Tanzania, Oden Charles Mbaga menerima hukuman pergantungan seumur hidup dan denda 200,000 franc Swiss (AS $ 200,000) kerana menerima rasuah untuk mengatur beberapa perlawanan bola sepak, kata FIFA semalam.

FIFA berkata dalam satu kenyataan bahawa jawatankuasa etikanya telah mendapati Mbaga bersalah menerima rasuah yang mana ianya melanggar kod etika FIFA berikutan siasatan dibuka pada bulan Julai.

Dalam e-mel yang berikutnya kepada Reuters, FIFA menjelaskan bahawa Mbaga “menerima rasuah untuk memanipulasi beberapa perlawanan kebangsaan dan antarabangsa antara tahun 2009 dan 2012.”

Namun, tiada butiran lanjut diberikan mengenai perlawanan mana yang terlibat.

Dalam pada itu, Mbaga memberitahu Reuters di Dar es Salaam bahawa dia telah bertemu FIFA bagi menjawab segala persoalan pada 2010 tetapi tidak pernah mendengar apa-apa berita dari mereka sejak itu dan tidak tahu apa-apa mengenai perlawanan berkenaan.

“Ini berita yang amat mengejutkan kepada saya. Saya tidak tahu apa-apa mengenai pengharaman saya dalam menyertai aktiviti bola sepak seumur hidup,” katanya.

“Saya tahu FIFA sedang melakukan siasatan dan kali terakhir mereka datang untuk menyoal siasat saya berkaitan isu itu pada tahun 2010. Saya memberitahu mereka secara terbuka bahawa saya tidak tahu apa-apa mengenai pengaturan perlawanan dan saya tidak pernah mendengar apa-apa dari mereka sejak itu.

“Buat masa ini, saya tidak boleh memberikan sebarang komen kerana saya tidak mempunyai maklumat yang jelas.”

Larangan itu tidak termasuk “semua aktiviti berkaitan bola sepak (pentadbiran, sukan atau lain-lain) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Bulan lalu, bekas pengadil antarabangsa, Ibrahim Chaibou dari Nigeria  turut menerima denda yang sama kerana menerima suapan bagi kesalahan mengatur perlawanan.