Connect with:




Kemelut yang melanda badan pengelola sukan permotoran, Persatuan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) masih belum menemui jalan penyelesaian selepas Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) membatalkan pendaftaran mereka sebagai badan sukan bermotor pada 30 November tahun lalu kerana kegagalan mematuhi Akta Pembangunan Sukan 1997.

Menurut Pejabat Suruhanjaya Sukan (PJS), pihak mereka memutuskan untuk membatalkan status AAM pada penghujung 2018 selepas AAM “melanggar peraturan” dengan tidak menghantar laporan hujung tahun dan tidak meminda perlembagaannya.

Bagaimanapun, PJS hanya mengesahkan keputusan itu kepada media awal bulan ini.

Antara kesalahan lain yang membawa kepada pembatalan itu ialah AAM tidak mengemukakan dokumen seperti minit Mesyuarat Agung, senarai ahli jawatankuasa, penyata kewangan tahunan yang diaudit, laporan aktiviti tahunan dan senarai keahlian yang gagal dihantar sejak 2016.

Tindakan ini menyebabkan AAM hilang kelayakan sebagai badan pengiktirat samada sebagai penganjur atau apa juga aktiviti yang membabitkan sukan pemotoran tempatan, mahupun di peringkat antarabangsa.

“PJS memutuskan AAM bukan lagi entiti yang patut dan wajar didaftarkan untuk mewakili sukan bermotor di Malaysia sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 20 Akta Pembangunan Sukan,” ujar Datuk Zaitun seperti yang dipetik oleh Harian Metro.

“Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) juga sudah mengambil maklum pembatalan AAM sebagai badan sukan bermotor Malaysia melalui surat bertarikh 8 Mac lalu.

“Sehubungan itu, peranan sebagai badan pengelola sukan bermotor Malaysia akan diuruskan oleh satu badan sukan baharu yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

AAM bagaimanapun sudah membuat rayuan kepada Menteri Belia dan Sukan namun ditolak.

Selepas ini, mana-mana pihak dinasihatkan untuk tidak tidak berurusan dengan AAM sehingga badan pengelola baharu diumum kelak.