Connect with:




Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan denda sejumlah RM67 500 kepada Kuantan FA kerana gagal melunaskan tunggakan gaji seorang jurulatih mereka dan 44 pemainnya.

Menerusi satu kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu menegaskan selain didenda, Kuantan FA harus menjelaskan tunggakan gaji tersebut yang memelbihi RM1.6 juta dalam tempoh 60 hari dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Katanya lagi, keputusan tidak boleh dirayu dan tempoh 14 hari akan diberikan untuk membayar denda tersebut atau mereka akan dikenakan hukuman berat sekiranya gagal melunaskan denda dalam tempoh yang diperuntukkan.

Selain itu, denda sebanyak RM 12 000 juga dikenakan kepada Persatuan Bolasepak Penang (FAP) berikutan kegagalan persatuan itu yang gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji dengan jumlah terkumpul RM RM 377 000 kepada lapan pemainnya.

Malahan, kelab sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KSDBKL) turut diperintahkan untuk membayar tunggakan gaji kepada 10 pemainnya dengan jumlah terkumpul RM 144 000.

Baljit memaklumkan juara Liga FAM 2018, kelab bola sepak Terengganu FC (TCFC) didenda RM 1 500 ekoran gagal membayar tunggakan gaji RM 60 000dan pampasan baki kontrak RM 120 000 kepada bekas jurulatihnya, Roshadi Wahab.

Mengulasnya lagi, semua keputusan berkenaan dicapai pada mesyuarat kali kesembilan Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi penggal 2017-2021, baru-baru ini.- BERNAMA