Connect with:




Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan masih mempertimbangkan sama ada sukan angkat berat akan dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor, 2020 telah mendapat maklum balas Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub bin Rahmat.

Ayub dalam kenyatannya menyebut menteri seharusnya melihat serta menyokong usaha-usaha berterusan yang dilakukan oleh PABM dan badan gabungan PABM.

“PABM bersama-sama Majlis Sukan Negara (MSN), Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), persatuan-persatuan angkat berat negeri serta atlet dan jurulatih sentiasa bekerjasama agar isu doping ini tidak berlaku lagi dalam sukan ini.

“Program berbentuk seminar, bengkel pendidikan, sesi penerangan dan ujian saringan doping kepada atlet-atlet negara yang akan bertanding pada kejohanan-kejohanan di peringkat antarabangsa juga telah dilakukan. PABM juga telah menggantung penyertaan atlet negara ke kejohanan antarabangsa selama satu tahun bermula 30 Mei 2018 hingga April 2019. Ianya bertujuan memberikan pengajaran dan pendidikan kepada para atlet agar tidak mengambil bahan larangan dalam sukan ini”.

Hasil dari usaha tersebut, tiada lagi kes-kes terbaru doping walaupun ujian saringan telah dilakukan oleh ADAMAS dan World Anti Doping Agency (WADA) kepada atlet angkat berat Malaysia.

Menurut Ayub lagi, PABM menganggap keputusan itu tidak adil kerana peratusan kes positif doping angkat berat SUKMA Perak Cuma 1.7 % iaitu 3 daripada 177 atlet yang menyertai SUKMA Perak pada 2018 yang lepas.

“Bahan larangan yang digunakan 3 orang atlet positif doping tersebut adalah baru berkuatkuasa 2018 di mana sebelum ini ianya adalah dibenarkan. Berkemungkinan para pembekal kepada MSN Negeri tidak dimaklumkan berkenaan perkara ini.

“Sekiranya sukan ini digugurkan atau tidak diangkat sebagai sukan pada temasya sukan terbesar di negara ini, ianya sudah pasti memadam impian dan peluang atlet-atlet pelapis serta berbakat di negeri-negeri dan kebangsaan.

Tanbahnya, semua negeri telah membuat persiapan dalaman sebagai persediaan SUKMA 2020. Pengecualian acara angkat berat di SUKMA nanti akan mematahkan usaha-usaha dari PABM dan Majlis Sukan dan Persatuan Angkat Berat Negeri-negeri.

“Saya juga dimaklumkan bahawa beberapa perbincangan dan lawatan tapak ke lokasi sukan angkat berat SUKMA 2020 telah dilakukan beberapa kali serta ianya mendapat respons yang positif. Pembentangan gerak kerja juga telah diadakan antara PABM, Sekreteriat SUKMA Johor 2020, JKR, Eduhub Pagoh dan beberapa pihak lagi demi memastikan sukan ini berjaya diadakan.

“Justeru, saya mewakili PABM, persatuan angkat berat negeri, jurulatih dan atlet mendesak dan merayuagar sukan angkat berat dipertimbangkan serta dimasukkan semula dalam SUKMA Johor 2020 nanti bagi menggilap potensi baru anak-anak Malaysia.