Connect with:




Bekas beregu negara, Mohd Zakry Latif membuktikan sentuhan dia belum ‘berkarat’ apabila menjuarai edisi sulung Kejohanan Badminton Heattone 2018 di Alor Setar, kelmarin.

Kejayaan itu hadir selepas bekas pemenang Siri Super Indonesia 2008 itu melakar kemenangan bersama Iszuwan Azahar ke atas Quah An Yang-Nazim Kamar 19-21, 21-18, 21-14 dalam aksi final kategori beregu terbuka.

Kemenangan di kejohanan berstatus karnival itu membolehkan Zakry-Iszuwan yang kini bernaung di bawah Akadeki Badminton Zakry menerima hadiah RM 2,000 manakala An Yang-Nazim mendapat RM 1,000.

Namun, perjalanan mereka tidak semudah yang disangka apabila perlu menempuh halangan daripada bekas pemain kebangsaan lain termasuk Roslin Hashim yang bergandingan bersama Razif Latif untuk berpuas hati di tempat ketiga dengan RM 500.

Bagi Zakry, 35, walaupun gembira dengan kemenangan tersebut, namun dia tampil memuji langkah NR Mustajab menganjurkan kejohanan edisi pertama itu yang dianggap sebagai pentas terbaik untuk pemain amatur melepaskan ‘gian’.

“Kami sebagai bekas pemain sememangnya mengalu-alukan syarikat swasta seperti NR Mustajab untuk menganjurkan kejohanan seperti ini kerana sekarang ini banyak pemain amatur yang aktif di Malaysia.

“Malah, saya turut difahamkan Heattone juga akan menjelajah ke seluruh negara untuk menganjurkan kejohanan badminton ini, jadi bagi saya ia satu perkembangan baik untuk pemain badminton amatur,” katanya.

Sementara itu, juara kategori beregu amatur menjadi milik Mukhriz Nazeri-Saik Wei Han dari Kelab Badminton CCZ yang menewaskan Ang Teik Yang-Ow Yeang Khan Tean 22-21, 18-26, 26-24.

Mereka membawa pulang hadiah kemenangan RM 1,200, piala pusingan, barangan sukan Apacs, kasut jenama Asics dan barangan kesihatan Heattone dengan naib juara pula menerima RM 800.

Tempat ketiga dikongsi bersama Firmansyah Julius-Shahrizal Rozali dan Wahyudi Wahab-Tan Soon Kiet. Masing-masing menerima RM 400 beserta pingat.

Heattone adalah krim keluaran syarikat NR Mustajab dengan Formulasi terkini yang melegakan dan memelihara keselesaan anggota tubuh badan yang di adun Menggunakan Herba Sepenuhnya.