Connect with:




Siri pertarungan MMA terbesar Asia, ONE CHAMPIONSHIP meneruskan penganjuran acara mereka di Indonesia, 3 Mei ini dengan menampilkan pertarungan merebut tali pinggang flyweight muay thai dunia sebagai aksi kemuncak.

Sam-A Gayanghadao dari Thailand akan mempertahankan tali pinggang yang dipegang beliau dari dirampas jaguh muay thai United Kingdom, Jonathan Haggerty.

Sam-A, petinju dari Buriram ini memulakan karier muay thai seawal umur 9 tahun. Beliau telah membuktikan keupayaan dalam sukan tersebut dengan menjuarai pelbagai kejuaraan dalam banyak kelas berat yang berbeza.

Lawannya, Jonathan Haggerty pula merupakan jaguh di Eropah. Peratungan Sam-A dengan Haggerty bersempena dengan ONE: FOR HONOR ini pastinya menjadi tumpuan peminat sukan muay thai di seluruh dunia.

Dalam pada itu, acara yang berlangsung di Istora Senayan ini juga bakal menampilkan kemunculan dua bintang sukan tempur negara iaitu Mohammed bin Mahmoud yang turut dikenali sebagai ‘Jordan Boy’ serta Keanu Subba.

Ini akan menjadi penampilan keempat Jordan Boy dalam ONE CHAMPIONSHIP. Selepas kemenangan debut di Kuala Lumpur tahun lepas, nasib tidak begitu memihak kepada beliau yang tewas di Manila dan Jepun tahun ini.

Maka, pertarungannya menentang Andrew Miller dari Scotland pasti mahu dijadikannya sebagai titik kebangkitan untuk memperbaiki rekod dalam ONE Championship.

Bekas juara Featherweight MIMMA, Keanu Subba pula akan beraksi menentang bintang baharu yang akan membuat kemunculan pertama di ONE Championship iaitu Ryogo Takahashi.

Takahashi merupakan jaguh featherweight Jepun yang mempunyai rekod 7 kemenangan dan 3 kekalahan dalam karier profesional MMA beliau.

ONE: FOR HONOR boleh ditonton secara langsung secara percuma menerusi youtube rasmi ONE Championship dan applikasi pintar ONE Championship.