Siri MMA terbesar di Asia, ONE FC akan kembali ke Jakarta pada hujung minggu ini dengan menawarkan 10 pertarungan termasuk 7 pertarungan utama (main card).

Dengan bertemakan ONE: TOTAL VICTORY, para pengikut sukan MMA di Indonesia pastinya teruja dengan kehadiran 6 bintang MMA mereka dimana salah seorangnya akan bertarung dengan peserta Malaysia, Hisyam ‘Zephyrus’ Samsudin.

Hisyam akan menentang peserta tuan rumah, Jeremy Meciaz dalam pertarungan featherweight.

Ini merupakan kemunculan kedua Hisyam di atas pentas ONE FC selepas tewas kepada rakan senegara, Muhammad Aiman di ONE: UNBREAKABLE WARRIORS, tahun lalu.

Berusia 26 tahun, Hisyam merupakan juara tinju Asia Pasifik dalam kategori Light Heavyweight dan merupakan anak didik kepada ‘otai’ MMA Malaysia, AJ Pyro.

Mengulas mengenai pertarungannya dengan Meciaz, Hisyam hanya mempunyai satu startegi sahaja untuk menumbangkan lawannya itu iaitu dengan memenanginya secara knockout.

“Saya tahu Meciaz hebat menerusi serangan bawahan (ground) kerana BJJ adalah kelebihannya namun saya tidak begitu memikirkan perkara itu.

“Apa yang saya tahu, saya mahu tumbangkannya tidak kira secara berdiri atau di atas gelanggang. Jika saya tidak dapat menumbuknya, saya akan mencekiknya” kata Hisyam menerusi temubualnya bersama ONE FC.

Sama seperti Hisyam, ini juga kemunculan kedua buat Meciaz yang turut tewas dalam aksi sulungnya sebelum ini.

Selain dari pertarungan Meciaz-Hisyam ini, ONE: TOTAL VICTORY turut menampilkan bekas juara dunia flyweight, Kairat Akhmetov dari Kazakhstan yang bakal beraksi menentang Geje Eustaquio dari Filipina.

Ini pertarungan pertama Akhmetov selepas tewas dalam mempertahankan tali pinggangnya kepada Adriano Moraes, Ogos lalu. Kekalahan tersebut juga satu-satunya kekalahan sepanjang rekod karier profesional beliau.

Bagi Eustaquio pula, beliau merupakan jaguh wushu yang mempunyai rekod 6-4 di pentas ONE Championship.

Berikut senarai pertarungan penuh di ONE: TOTAL VICTORY yang akan berlangsung 16 September ini di Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia.

—–

PERTARUNGAN UTAMA / MAIN CARD

KAIRAT AKHMETOV (Kazakhstan) vs GEJE EUSTAQUIO (Filipina)
(Acara utama / flyweight)

STEFER RAHARDIAN (Indonesia) vs SIM BUNSRUN (Kemboja)
(flyweight)

ALAIN NGALANI (Hong Kongs) vs HIDKE SEKINE (Jepun)
(heavyweight)

YAGO BRYAN (Brazil) vs ROY DOLIGUEZ (Filipina)
Strawweight

SUNOTO (Indonesia) vs THAI RITHY (Kemboja)
(Featherweight)

JEREMY MECIAZ vs HISYAM SAMSUDIN (Malaysia)
(Featherweight)

LIU DE LI GE RI HU (China) vs RAMON GONZALES (Filipina)
(Flyweight)

PERTARUNGAN AWAL / PRELIMINARY (live streaming di FB ONE Championship)

JEROME S PAYE (Liberia) vs YODSANAN SITYODTONG (Thailand)
(Flyweight)

ADRIEN MATHIES (Indonesia) vs PHAT SODA (Kemboja)
(Strawweight)

RISKI UMAR (Indonesia) vs ADI NUGROHO (Indonesia)
(Bantamweight)