Siri MMA terbesar di Asia, ONE CHAMPIONSHIP kembali lagi ke Kuala Lumpur bertempat di Stadium Negara pada 18 Ogos ini. Tarikan terbesar pastinya pertemuan perebutan kejuaraan featherweigt dunia melibatkan penyandang tali pinggang, Marat Gafurov dengan pencabarnya dari Australia, Martin Nguyen.

Bagaimanapun bagi peminat MMA tempatan, tumpuan pastinya terarah kepada bintang-bintang ONE FC Malaysia yang akan beraksi. Untuk ONE : QUEST FOR GREATNESS, lima bintang MMA negara bakal turun dengan reputasi besar beraksi di halaman sendiri. Mereka ialah Keanu Subba, Giani Subba, Ann Osman, Agilan Thani dan Ev Ting.

Baru-baru ini bersempena dengan majlis pengumuman penjualan jenama BAD LAB secara online di Watson,, Sunway Pyramid, Dunia Sukan berpeluang menemubual kelima-lima bintang ONE FC ini. Ikuti temubual eksklusif kami dengan mereka.
PERSETERUAN MALAYSIA-SINGAPURA SEMARAKKAN SEMANGAT KEANU SUBBA

Juara MIMMA 2013 dan 2014 ini akan beraksi menentang adik kepada juara dunia, Angela Lee iaitu Cristian Lee. Keanu, kelahiran Hawaii yang membesar di Malaysia cukup teruja untuk menentang lawannya dari Singapura.

“Ia satu motivasi yang terbaik buat saya kerana Malaysia ketika ini di dalam bulan kemerdekaan”

“Bagi atlet MMA seperti saya, menghadiahkan kemenangan untuk Malaysia adalah satu cara untuk tunjukkan rasa cinta kepada negara” katanya yang menewaskan Ahmed Mujtaba dari Pakistan dalam aksi terakhirnya di ONE Championship, Februari lalu.

Menyentuh mengenai pertarungan itu nanti, Keanu memberitahu dia sudah sedia sepenuhnya menentang Cristian, Jumaat ini.

“Rekod kami dalam ONE FC agak seimbang. Bagi saya, tiada apa yang lebih penting selain daripada kemenangan kerana ini adalah pertarungan terbesar saya setakat ini”.

 
AKSI PERTAMA GIANNI SELEPAS BEREHAT 11 BULAN

Abang kepada Keanu iaitu Gianni Subba pula akan mengharungi pertarungan pertamanya menentang Riku Shibuya dari Jepun selepas berehat hampir 11 bulan akibat kecederaan.

“Dalam pertarungan yang lepas, saya patah tangan dan perlu berehat panjang.

“Saya berlatih sangat kuat untuk kembali dalam prestasi terbaik. Saya menjalani latihan bersama team Monarchy MMA dan juga Bali MMA.

Bagi Gianni, dia mengakui Riyu disukai ramai peminat MMA kerana stail dan corak pertarungannya yang agresif.

“Saya sendiri menyukai cara berlawan Riyu. Ia sangat sesuai dengan gaya saya. Saya pasti pertarungan kami nanti akan menjadi satu pertarungan yang epik”.

Gianni juga yakin dengan kemampuan dirinya apatah lagi beraksi di halaman sendiri.

“Saya tak perlu risau mengenai kehadiran penonton. Setiap kali ONE FC diadakan di Kuala Lumpur, ia akan berlangsung dengan cukup meriah. Saya sendiri yang beraksi di dalam gelanggang dapat merasakan auranya”.

 

ANN MAHU TERUSKAN MOMENTUM KEMENANGAN

Siapa sahaja tidak kenal dengan ratu MMA negara ini. Ann yang kini sudah bergelar isteri masih lagi aktif berlawan dan teruja untuk berada di dalam gelanggang.

Satu perkara yang sebelum ini menghantui fikiran Ann adalah aksi di halaman sendiri. Pada 2015, beliau tewas kepada Irina Mazepa sebelum sekali lagi kecundang di Kuala Lumpur kepada April Osenio tahun lalu.

Ia dilihat seperti satu badi buat wanita kelahiran Sabah ini. Bagaimanapun, Februari lalu, Ann berjaya bangkit untuk menang menewaskan Vy Srey Khouch di ONE: Throne of Tigers.

“Saya mahu teruskan momentum kemenangan ini. Saya dalam keadaan yang baik. Saya sebenarnya telah melakukan persiapan sebelum Aidilfitri lagi untuk pertarungan ini.

Lawan Ann pada Jumaat ini ialah bekas perenang Olimpik dari Singapura, May Ooi.

“Saya tidak boleh memandang lawan dengan mudah walaupun dia (May) kalah dua pertarungan sebelum ini.

“May seorang pengamal capoeira, Brazilian Jiu Jitsu dan jaguh tomoi. Saya perlu berhati-hati”.

 
AGILAN HAMPIR BERSARA SELEPAS TEWAS KEPADA BEN ASKREN

Harapan melihat juara dunia pertama ONE FC dari Malaysia tidak kesampaian selepas bintang sensasi negara, Agilan Thani tewas dalam beberapa saat sahaja kepada Ben Askren, Mei lalu.

3 bulan sudah berlalu namun peristiwa pahit itu masih sukar untuk dilupakan anak kelahiran Sentul ini.

“Terus terang saya katakan, selepas tewas kepada Askren, saya ada terfikir untuk bersara dari MMA” katanya.

“Tekanannya memang tinggi apabila saya mempunyai rekod 6-0 sebelum kalah kepada Askren. Bagaimanapun, melihat sokongan dari keluarga dan para peminat yang mahukan saya terus beraksi, saya bangkit dan bersemangat untuk kembali masuk ke dalam gelanggang.

Agilan juga berterima kasih kepada ONE FC kerana memberinya peluang untuk beraksi di Kuala Lumpur, Jumaat ini.

“Bukan mudah untuk seorang atlet ONE FC dapat beraksi sebanyak 3 kali dalam tempoh setahun. Selalunya maksimum hanya 2 kali dalam tempoh tersebut jadi untuk dapat aksi ketiga lebih-lebih lagi di negara sendiri, saya amat bersyukur”.

Agilan akan menentang Sherif Mohamed dalam aksi pertarungan welterweight. Sherif “The Shark” Mohamed merupakan jaguh MMA dari Mesir yang akan emmbuat kemunculan keduanya di ONE FC.

 

EV TING MAHU BANGKIT DARI KEKALAHAN

Selain Agilan, seorang lagi bintang MMA negara yang terlepas peluang untu muncul juara dunia ialah Ezv Ting.

Ev gagal merampas tali pinggang dari bintang Filipina, Eduard Folayanng, Mei lalu.

“Dunia tidak berakhir walaupun anda tewas. Seorang juara perlu bangkit dari kekalahan dan itulah apa yang akan saya lakukan.

“Kekalahan kepada Folayang memberi banyak pengalaman dan pengajaran kepada saya. Sejak dari itu, sya banyak memperbaiki kelemahan untuk menjadikan saya seorang atlet MMA yang lebih baik”.

Jumaat ini, Ev berdepan bekas juara dunia welterweight, Nobutatsu Suzuki dari Jepun.

“Suzuki dikenali dengan kepantasan dan kekuatan tumbukannya. Dia juga mempunyai rekod yang baik ketika menentang lawan yang lebih besar saiz fizikal.

“Bagaimanapun saya juga ada strategi tersendiri. Saya mahu kekalkan rekod bersih di halaman sendiri” katanya yang mempunyai rekod 100 kemenangan dalam 7 pertarungan di Malaysia.