Connect with:




Khabar gembira buat penggemar sukan seni bela diri campuran (MMA) di Asia, apabila penganjur terbesar kejohanan MMA di Asia, ONE Championship, mengumumkan penganjuran siri kejohanan sukan eletronik (e-sukan).

Dalam usaha membantu  membangunkan lagi industri ‘sukan milenial’ itu di rantau Asia, ONE eSports dilihat menjadi inisiatif yang diambil ONE Championship untuk turut membantu memajukan industri yang sedang pesat membangun itu.

Penghasilan ONE eSports adalah hasil kerjasama melibatkan organisasi tersebut dengan Dentsu Inc, sebuah syarikat dari Jepun, serta syarikat gaming Razer dan syarikat telekomunikasi Singtel dari Singapura.

ONE Championship menerusi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chatri Sityodtong berkata pihak mereka sangat komited dalam menganjurkan kejohanan e-sukan yang mempunyai kehebatan sama seperti kejohanan MMA yang diadakannya selama ini.

“Kami nampak ada keserasian semulajadi antara seni bela diri dan peminat e-sukan di Asia serta peluang untuk membawa mereka bersama di bawah satu bumbung dalam acara sukan ‘live’.

“Misi kami adalah unutk meraikan wira-wira e-sukan Asia di pentas global. Penubuhan ONE eSports ini sekaligus menjadikan kami (ONE Championship) sebagai pengeluar terbesar sukan milenial di Asia,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Siri kejohanan tersebut yang bakal dilangsungkan seiring dengan kejohanan-kejohanan MMA yang dijadualkan tahun hadapan bakal menerima pelaburan sebanyak AS$50 juta (RM108.1 juta) dari ONE Championship.

Untuk makluman, ONE eSports bakal diterajui bersama oleh bintang MMA dari Amerika Syarikat, Demetrious Johnson yang akan bertindak sebagai ‘Chief Brand Ambassador’ mereka.

Pertandingan-pertandingan e-sukan sudah mendapat perhatian serta penerimaan arus perdana sejak beberapa tahun kebelakangan ini.Tidak dinafikan ianya merupakan antara industri yang sedang berkembang pesat dan sukan ini dimainkan di serata dunia melibatkan jutaan pemain.

Tidak dinafikan bahawa Asia merupakan rantau yang menerajui perkembangan sukan ini dan memiliki ramai pemain bertaraf profesional yang mampu mengejutkan pemain di Eropah.

Perkembangan eSports juga dilihat mendapat perhatian kerajaan Malaysia yang baru-baru ini menyatakan sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk pembangunan e-sukan di Malaysia menerusi Belanjawan 2019.

Bukan itu saja, sukan ini juga mendapat sokongan penuh dari Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang beberapa kali menyatakan impian beliau untuk menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar eSports di Asia Tenggara.

Selain itu, Syed Saddiq turut memasang hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab e-sukan di Asia di mana ianya sebuah industri yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda terutama sekali dalam bidang computer.

 

Foto : Facebook ONE Championship

Sumber : Pundit Arena.com