Connect with:




Bintang welterweight negara, Agilan Thani akhirnya menamatkan kemarau kemenangan peserta Malaysia di pentas ONE Championship tahun ini selepas menewaskan Yoshihiro Akiyama bersempena acara ONE: LEGENDARY QUEST yang berlangsung di Shanghai, China.

Agilan yang turun buat pertama kali selepas tewas aksi terakhirnya di Kuala Lumpur, Disember lalu menampilkan persembahan berbeza dan cukup bertenaga berbanding dua aksi sebelum ini.

Jika sebelum ini ramai lebih mengenali Agilan dengan skill ‘grappling’ yang hebat, aksi menentang Akiyama semalam nyata berbeza dimana Agilan menunjukkan peningkatan dalam skill bertinju dimana tumbukannya lebih padu dan tepat ke muka lawan.

Malah, Agilan berapa kali berjaya menjatuhkan Akiyama menerusi aksi ‘grappling’ namun peserta dari Jepun itu berjaya bertahan untuk menghabiskan pertarungan.

Selepas 3 pusingan, juri akhirnya sebulat suara memberi kemenangan mutlak kepada Agilan sekaligus menambah kemenangan kesembilan dari 12 penampilan di ONE Championship.

Sementara itu, Stamp Fairtex dari Thailand berjaya mempertahankan kejuaraan tali pinggang dunia ONE Atomweight Muay Thai selepas mengatasi petinju Australia, Alma Juniku.

Kedua-dua petarung wanita itu berentap dalam lima pusingan penuh, berbalas serangan menerusi pelbagai kombinasi.

Sepanjang pertarungan, Stamp dilihat lebih mendominasi selain sering mendapat peluang menghantar pukulan. Di akhir perlawanan, pengadil yang mengadili perlawanan memberikan kemenangan kepadanya menerusi keputusan sebulat suara.