Connect with:




Pemain pasukan Melaka United, Ifedayo Olusegun dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Liga Super Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) – asiana.my bagi edisi Julai 2018.

Anugerah dan hadiah berkenaan disampaikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Farhan Ibrahim dan turut bersama pada majlis tersebut adalah Penolong Jurulatih Pasukan Melaka United, Ridzuan Abu Shah; Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya; Setiausaha PFAM, Ahmad Fauzi Saari, Bendahari PFAM, Rudie Ramli; Exco PFAM, Fairuz Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

“Kemenangan ini saya tujukan kepada rakan-rakan sepasukan yang bersama-sama memberikan komitmen yang baik dalam setiap perlawanan, tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada keluaga dan para penyokong yang mengundi saya.”

“Pastinya saya tidak akan berhenti di sini dan saya mahu memenanginya lagi di lain masa. Sekalung tahniah diucapkan kepada PFA Malaysia yang mewujudkan anugerah ini dan saya berharap hal ini dapat diteruskan sebagai salah satu bentuk pengiktirafan kepada pemain bola sepak di Malaysia.” Jelas Ifedayo selepas majlis penyerahan anugerah tersebut.

Kejayaan Ifedayo meletakkan beliau sebagai pemain kedua dari pasukan Melaka United yang pernah menerima anugerah pemain terbaik bulanan selepas Ilija Spasojević yang pernah memenangi Pemain Terbaik Liga Premier bagi edisi April dan Ogos 2016.

Beliau menerima undian tertinggi sebanyak 32.15% (1,214 Undi) mengalahkan empat calon lain iaitu Rufino Segovia dari Selangor FA (22.56% – 965 Undi), Farizal Marlias dari JDT ( 22.03% – 832 Undi), Nor Hakim Hassan dari Perak FA (17.98% – 679 Undi) dan Bruno Matos dari PKNS FC (2.28% – 86 Undi)

Beliau menerima sebuah trofi dan sebingkai gambar sumbangan asiana.my, wang tunai berjumlah RM1500 sumbangan 139associates dan MK, jersi tajaan PaddyGear, produk minuman tajaan BB7, barangan sukan tajaan AY Sports dan juga perapi rambut tajaan Major Pomade.

Undian dibuat melalui laman web rasmi PFAM iaitu www.pfam.my. Para pengundi boleh membuat undian melalui desktop, laptop, telefon pintar, atau tablet dan boleh menggunakan semua jenis pelayar (browser). Sesiapa sahaja boleh mengundi calon-calon untuk anugerah tersebut. PFAM akan memasukkan senarai pencalonan ke dalam laman web PFAM setiap bulan dan undian akan dibuka selama seminggu untuk peminat-peminat bolasepak mengundi calon kegemaran mereka.

Semoga anugerah ini dapat menjadi pendorong kepada pemain untuk lebih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasi mereka.