Connect with:




MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)mempunyai pendirian yang tetapi dalam memastikan pemain yang dipanggil dapat mewakili negara untuk tugasan penting di temasya Sukan Asia 2018 yang akan membuka tirainya bulan depan.

“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus peka dalam memastikan setiap pasukan bola sepak negeri dan kelab melepaskan pemain yang dipanggil mewakili negara untuk bersaing di di kejohanan Sukan Asia 2018,” tegas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada Ahad lepas, kesukaran mengumpul pemain menyaksikan ketua jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee memberi gambaran skuad kebangsaan bakal menarik diri daripada menyertai Sukan Asia 2018.

Namun, Kim Swee menafikan skuad kebangsaan itu bakal menarik diri sebaliknya mereka memandang serius pada saingan Sukan Asia yang bakal berlangsung bulan depan nanti.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa skuad negara ingin tarik diri.

“Saya bukan mahu menarik diri tetapi menjelaskan peraturan sebenar berhubung senarai pemain ke kejohanan berkenaan.

“Saya menjelaskan itu adalah situasi yang akan berlaku jika kita tidak cukup pemain iaitu sebanyak 18 pemain minimum yang wajib. Saya menjawab soalan media apa kesan kalau tidak cukup pemain, bukannya kata kita tarik diri kalau pasukan tak lepas pemain.

“Saya tegaskan, saya sudah senaraikan 30 pemain (termasuk senarai standby). Jadi mungkin ada pemain yang tidak mendapat pelepasan dan saya kena bersedia dengan situasi itu.

“Sudah tentu kita mahu bermain di Sukan Asia dan ini merupakan platform terbaik kepada pemain untuk bersaing bersama pasukan terbaik seperti Korea Selatan,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq akan bertemu dengan Kim Swee serta semua exco sukan negeri untuk berbincang tentang isu tersebut.

Beliau turut menegaskan persatuan-persatuan negeri bahawa KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah membuat pelaburan besar dalam membentuk para pemain ini.

Beliau megulas laporan media mengenai isu yang menjadi mimpi ngeri buat Kim Swee dan akan memastikan skuad kebangsaan dapat bersaing di Sukan Asia nanti.