Connect with:




Jurulatih skuad Bawah 23 tahun(B-23), Datuk Ong Kim Swee mengakui kecewa dengan sikap dan persembahan beberapa pemainnya selepas skuad Malaysia B-23 menamatkan kempen kumpulan Asia mereka dengan kekalahan 3-2 keatas Bahrain, semalam.

“Ia sememangnya mengecewakan apabila melihat beberapa pemain tidak menunjukkan sikap atau komitmen yang betul terhadap permainan. Banyak perkara yang tidak memenuhi jangkaan. Pemain-pemain ini diberi peluang untuk menunjukkan potensi mereka, tetap mereka tidak menggunakannya sebaik mungkin, “kata Ong.

Dalam pada itu, Ong telah melakukan sebanyak lapan perubahan bagi perlawanan akhir Kumpulan E untuk memberi peluang kepada pemain baru.

Begitupun, tindakannya merehatkan sebahagian besar pemain utamanya memakan diri apabila lapan pemain yang diberi kepercayaan gagal membuktikan kemampuan mereka sekaligus menyaksikan skuad negara tewas 2-3.

Salah satu kebimbangan utama bagi Ong adalah kebimbangannya terhadap kecergasan dan kesihatan tonggak utama pasukan, Akhyar Rashid.

“Saya bimbang dengan kecederaan Akhyar. Dia datang dan bergelut pada akhirnya. Saya tidak tahu tahap serius kecederaannya kerana kita pasti ketagih aksinya untuk menentang Jepun nanti.”

“Kami tahu Jepun adalah pasukan yang baik. Mereka mempunyai gabungan pemain yang baik dan telah bekerjasama dalam satu jangka masa yang lama. Mereka juga berpengalaman di peringkat antarabangsa dan telah memberikan yang terbaik di peringkat kumpulan. Kita harus mempamerkan aksi yang terbaik. ”

Meskipun tewas tipis, Malaysia menamatkan aksi kumpulan sebagai juara di hadapan Korea Selatan dengan perbezaan gol.

Malaysia dijadual menentang Jepun pada pusingan kedua Jumaat ini.

Foto Kredit: BERNAMA