Oleh : Muhammad Al Zaem

Negeri Sembilan mencatat kemenangan besar pada perlawanan kedua Piala Malaysia 2011 dengan mengatasi Sime Darby FC 5-0 di Stadium Paroi untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam Kumpulan B bersama-sama Terengganu. Selain Negeri Sembilan, antara pasukan lain yang mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam kumpulan masing-masing dengan kemenangan adalah Kelantan dan Felda United dalam Kumpulan C dan Kuala Lumpur dalam Kumpulan D.

Pesta pasukan bimbingan jurulatih Mohd Azraai Khor adalah hasil jaringan daripada Hairuddin Omar dengan dua jaringan, Shahurain Abu Samah, Shukor Adan dan Mohd Firdaus. Ini berjaya meletakkan mereka sebagai pendahulu Kumpulan B. Dalam kumpulan yang sama, Terengganu berjaya mengelak keputusan seri dengan PKNS FC apabila mencatat keputusan 3-2 hasil jaringan penalti Manaf Mamat di minit ke 79. Sebelum itu, kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan dengan Terengganu dua kali mendahului menerusi Ashaari Shamsuddin dan Reeshafiq Alwi. Penjaring untuk pasukan PKNS pula adalah Fauzan Dzulkifli dan Zamri Hassan.

Dalam Kumpulan A, pasukan Sabah berjaya menumbangkan Kedah dengan jaringan 2-1 hasil jaringan Zainizam Marjan dn K. Thanaraj manakala jaringan saguhati pasukan Kedah adalah menerusi pemain pasukan kebangsaan, Azmi Muslim di minit-minit akhir perlawanan. Selain itu, Kedah turut kehilangan pemain tengahnya kerana dilayangkan kad merah iaitu Baddrol Bakhtiar.

Di Stadium Perak, Perak memperolehi kemenangan pertama mereka hasil kemenangan 2-1 ke atas Johor hasil jaringan Mohd Failee Ghazali dan sepakan penalti Shafiq Jamal. Kemenangan itu diperolehi tanpa 5 tonggak utama mereka yang digantung perlawanan. Johor mendapat jaringan saguhati menerusi Azuwad Arip pada minit terakhir permainan.

Kelantan nyaris mencatatkan keputusan seri dengan Johor FC tetapi pemain gantiannya, Ramzul Zahini telah menyumbatkan gol kemenangan pada minit ke 87 untuk membolehkan pasukan Red Warrior menang 2-1 dalam perlawanan yang dilangsungkan dalam keadaan hujan di Kota Bharu. Johor FC mendahului menerusi penyerang berbisanya iaitu Eddy Helmi Manan di awal babak pertama sebelum sepakan jauh Shakir Shaari pada minit ke 18 terbias pada pertahanan lawan, Hamzani Omar dan menerjah gawang untuk gol penyamaan.

Manakala pasukan kendalian E. Elavarasan, Felda United berjaya mencatat kemenangan kedua menumbangkan Sarawak dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Nizam Abu Bakar di Stadium MBPJ.

Saingan Kumpulan D juga turut menarik dengan Kuala Lumpur terus mencatat kemenangan kedua dengan mengatasi pasukan T-Team dengan keputusan 2-1 hasil dua jaringan Yong Kuong Yong. Kuala Lumpur mendahului Kumpulan D manakala Selangor dan T-Team terikat dengan 3 mata di bawah. Selangor pula kembali menemui sentuhan mereka dengan menewaskan pasukan PDRM 2-0 menerusi jaringan Fadzli Shaari dan kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim.