Wakil Malaysia dalam kejohanan bola keranjang NBLAsia Seri Mutiara Cup, NS Matrix memulakan kempen dengan kemenangan selepas menundukkan wakil Taiwan, Fubon Braves semalam dengan keputusan 100-91 di Stadium MABA.

Diperkuatkan dengan bekas pemain Dallas Maverick iaitu Keith Hornsby, NS Matrix dicabar sengit lawan terutamanya pada suku ketiga namun Hornsby menjadi watak penting dalam kemenangan pasukannya selepas menyumbang 47 matapada perlawanan tersebut.

Dilatih oleh Bryant Lester, bekas jurulatih Malaysia sekitar tahun 2005 hari ini akan menentang juara bertahan, Guangzhou Long Lions yang tewas perlawanan pembukaan kepada kelab Croatia, K.K Split 51-77.

Dua lagi perlawanan yang berlangsung semalam menyaksikan wakil Jepun, Tochigi Brex menang 75-69 ke atas Kano Pillars dari Nigeria manakala LG Sakers dari Korea tewas kepada Beijing Fly Dragons (China) dengan keputusan 82-69.

Kejohanan Seri Mutiara Cup bermula semalam dengan peringkat kumpulan akan berlangsung sehingga 14 September. Peringkat kalah mati bermula pada 16 September dan Grand Final akan diadakan pada 17 September ini. Kesemua perlawanan diadakan di Stadium MABA, Kuala Lumpur.

Tiket harian berharga RM20 boleh didapatkan di kaunter tiket stadium atau secara online di www.nblasia.com. Diskaun sebanyak RM10 diberikan kepada pelajar. Anda juga boleh dapatkan pas bermusim bernilai RM100yang disertakan sekali dengan baju t-shirt kejohanan.

Pengunjung boleh menyertai beberapa aktiviti menarik termasuk meneka jumlah bola dalam bekas yang menawarkan hadiah wang tunai RM 5000 selain cabaran sure-shot yang bakal menerbangkan pemenang bertuahke Beijing.