Oleh : Faliq Firdaus

NS Betaria melabuhkan tirai kempen Liga FAM pada musim ini sebagai Juara setelah menumpaskan pasukan Johor Melodi Jaya 3-0 pada perlawanan terakhir Liga FAM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang tadi.

Pasukan yang dibimbing oleh Hamdan Ibrahim ini hanya perlu melengkapkan perlawanan yang terakhir pada hari ini kerana mereka telah mengesahkan kejuaraan pada perlawanan sebelumnya.

Permainan yang kemas serta tersusun yang dipamerkan oleh anak buah Hamdan Ibrahim ini membuahkan hasil selepas mereka berjaya membolosi gawang Melodi Jaya seawal minit ke-7, hasil jaringan Sathian Moorthy. NS Betaria terus mendominasi perlawanan dan memperkukuhkan cengkaman mereka melalui jaringan kedua yang dijaringkan oleh pemain penyerang, Norfaizzal Faroq pada minit ke-17. NS Betaria mampu melebarkan jumlah jaringan gol mereka, akan tetapi penyudah jentera serangan yang tumpul mengecewakan mereka. Pergerakan pasukan NS Betaria banyak dicorakkan oleh perancang utama mereka, Hardi Ahmad, yang juga merupakan ketua pasukan NS Betaria.

Pasukan Melodi Jaya yang ketinggalan dengan dua jaringan, mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol, tetapi dinafikan oleh ketumpulan barisan serangan mereka. Akhirnya, NS Betaria mengesahkan kemenangan mereka pada hari ini dengan jaringan pemain sayap, Mohd Hazeman, pada minit ke-75. Keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

Perlawanan yang diadili oleh pengadil utama, Henday Idang ini berjalan dengan lancar dengan hanya satu layangan kad kuning.

Penyampaian “mock cheque” serta piala telah disampaikan oleh Ahli Exco FAM, Dato’ Osman Salleh, yang diiringi oleh Penolong Setiausaha Agung FAM, Tuan Haji Ahmad Fuad Daud. NS Betaria berjaya memenangi RM60,000 serta piala dan medal setelah berjaya menjuarai Liga FAM dengan jumlah 45 mata daripada 20 perlawanan. NS Betaria akan diserapkan ke dalam Liga Premier 2012 setelah berjaya menjuarai Liga FAM 2011. Manakala dua pasukan tercorot Liga Premier 2011, SDM Navy dan Pulau Pinang, akan beraksi di Liga FAM 2012 selepas gagal mengekalkan kedudukan mereka di Liga Premier.