Bekas pemain Lyon dan Melbourne City, Harry Novillo melengkapkan perpindahan ke Johor Darul Tak’zim (JDT) sebagai pemain import baharu kelab itu.

Pengumuman mengenai perpindahan pemain itu diumumkan menerusi entri Facebook terbaru Johor Southern Tigers (JST), semalam.

“Merah, putih dan biru. Api apabila ia dibakar, ia akan menjadi sesuatu yang tidak dapat dihalang. Kelab ini ingin mengalu-alukan kehadiran Harry Novillo, bekas pemain Lyon dan Melbourne City serta sedang bermain di Dubai ketika ini. Beliau akan menyertai kami di JDT apabila jendela perpindahan dibuka nanti.

“Kelab ini berasa sukacita dan gembira untuk memiliki pemain yang berkaliber, pemain muda yang dahagakan sesuatu pencapaian terbaik, serta ingin menjadi sebahagian daripada kelab yang paling pesat berkembang, paling bercita-cita dan bersungguh-sungguh di Asia Tenggara.

“Sekali lagi, kami ingin mengalu-alukan kehadiran Harry Novillo bersama Keluarga JDT. Bersama-sama kita akan mencipta sejarah,” kata Pengarah Sukan Bolasepak JDT, Martin Prest.

Berita perpindahan pemain Perancis berusia 26 tahun itu telah menjawab teka-teki mengenai import baru yang akan menggantikan Jorge Pereyra Diaz.

Foto Kredit : a-league(dot)com(dot)au