Connect with:




Berbaki satu perlawanan Liga Kejuaraan Bola Sepak Inggeris (EFL Championship), Norwich City dan Sheffield United telah mengesahkan tempat ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berjaya berada di kelompok dua terbaik musim ini.

Satu lagi slot akan ditentukan oleh empat pasukan yang berada di kedudukan ketiga hingga keenam liga. Mereka akan bermain play-off untuk merebut satu slot ke EPL. Pasukan yang telah berada dalam slot play-off tersebut adalah Leeds United, West Brom dan Aston Villa.

Satu slot play-off lagi bakal ditentukan selepas perlawanan terakhir apabila Derby County, Middlesbrough dan Bristol City masing-masing mempunyai peluang untuk menempah slot paly-off tersebut.

Norwich kini mendahului carta kedudukan dengan 91 mata hasil daripada 26 kemenangan, 13 seri, dan enam kekalahan. Sheffield pula berada di kedudukan kedua hanya dibezakan dengan tiga mata selepas 26 kemenangan, 10 keputusan seri dan sembilan kekalahan. Mari kita lihat sedikit maklumat tentang dua pasukan yang akan ke kancah EPL musim depan.

 

Norwich City

Jurulatih : Daniel Farke

Kapten : Grant Hanley

Gelaran : The Canaries Yellow

Norwich City kali terakhir di saingan Liga Perdana Inggeris pada tahun 2015 selepas menamatkan saingan di tempat kedua tercorot liga. Kini mereka kembali dengan skuad yang lebih mantap dibawah kendalian Daniel Farke. Selepas mengharungi 45 perlawanan, The Canaries Yellow hanya tewas enam perlawanan. Ini menunjukkan benteng pertahanan mereka menunjukkan satu peningkatan yang mendadak.

Norwich kini mempunyai beberapa pemain yang akan membantu mereka di kancah EPL antaranya, penjaga gol berpengalaman, Tim Krul, penyerang utama mereka yang telah meledak 28 gol untuk saingan EFL Championship, Teemu Pukki serta beberapa pemain lain seperti Mario Vrancic, Jordan Rhodes, Emiliano Buendia, Marco Stiepermann dan Onel Hernandez.

 

Sheffield United

Jurulatih : Chris Wilder

Kapten : Billy Sharp

Gelaran : The Blades

Sheffield United yang dikendalikan oleh Chris Wilder mungkin akan menjadi salah satu pasukan akan memberi saingan dalam kancah EPL musim hadapan. Setelah sekian lama tidak bermain di EPL, Sheffield akan menggunakan peluang ini untuk kekal dalam saingan itu dan memberi tentangan hebat kepada pasukan-pasukan elit yang lain.

Seperti Norwich, Sheffield juga mempunyai beberapa pemain yang membantu mereka musim ini antaranya, kapten pasukan iaitu Billy Sharp yang telah menjaringkan 23 gol dalam saingan EFL Championship musim ini. Turut membantu Billy adalah David McGoldrick, Mark Duffy dan Chris Basham. Sheffield juga mempunyai penjaga gol yang mempunyai penampilan penuh untuk 45 perlawanan musim ini iaitu Dean Henderson.

 

Foto : Sportskeeda