Connect with:




Kei Nishikori mempersembahkan permainan menarik dalam aksi pembukaan Pusingan Akhir ATP semalam apabila berjaya mengejutkan Roger Federer yang melakukan penampilan kali ke-16 di kejohanan itu dengan keputusan 7-6(4), 6-3 dalam perlawanan yang berlangsung di O2 Arena, London, awal pagi tadi.

Sesudah pertembungan antara Kevin Anderson dan Dominic Thiem yang berpihak kepada Anderson, peminat mula memenuhi 02 Arena untuk menyaksikan aksi bertenaga dari Federer.

Namun sebaliknya yang terjadi apabila penonton disajikan dengan 34 ‘unforced errors’  yang dilakukan legenda Switzerland itu selain turut terlibat insiden dengan pengadil perlawanan.

Federer yang melakukan pukulan bola ke arah penonton pada set pertama memaksa pengadil perlawanan, Damian Steiner memberikan amaran  kepada beliau bagi menutup malam penuh suram buat Federer.

Kekalahan itu menyaksikan Federer kini bakal membawa misi harus menang ketika bertemu Thiem esok andai mahu mara ke separuh akhir buat kali ke-15.

Nishikori yang bakal berdepan Anderson selepas ini menyifatkan kejayaan menumpaskan Federer adalah sesuatu yang bermakna buat dirinya kerana berjaya menundukkan idola sendiri.

“Saya gembira untuk menang, ia tidak pernah mudah apabila beraksi menentang idola anda sendiri. Ia sentiasa perlawanan yang sukar dan besar menentang beliau (Federer), jadi ini satu kemenangan yang hebat buat saya.

“Saya perlu mengubah corak permainan apabila bertemu Anderson nanti kerana saya sudah dua kali tewas kepadanya dalam tempoh dua bulan,” ujar pemain kesembilan dunia itu.

Untuk rekod, Nishikori belum pernah menumpaskan Federer dalam enam pertemuan terdahulu sebelum berjaya melakukannya di London.

Selain itu, kejutan turut dilakukan pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson yang tampil buat julung kalinya di kejohanan itu berjaya melakukan kejutan apabila menundukkan wakil Austria, Dominic Thiem dengan keputusan 6-3, 7-6(10).

Kejayaan itu menyaksikan naib juara Wimbledon itu muncul pemain pertama Afrika Selatan selepas Wayne Ferreira yang layak ke Pusingan Akhir ATP pada 1995.

Aksi cemerlang Anderson yang berjaya mematahkan setiap cubaan kebangkitan dilakukan Thiem dengan beberapa kali menafikan mata penamat di tie-break set kedua sebelum mengesahkan kemenangan menerusi pukulan ace kali ke-13.

Anderson turut melakukan kejutan buat isterinya, Kelsey apabila beliau mengajak penonton di O2 Arena untuk menyanyikan lagu hari jadi buat isterinya itu sebaik tamat perlawanan.

 

Foto : AFP

Sumber : Reuters