Artiwara “Toon” Kongmalai merupakan seorang rockstar Thailand yang cukup terkenal di negaranya. Mengetuai kumpulan rock Bodyslam sebagai vokalis utama, Toon juga dikenali sebagai seorang yang sangat aktif dalam aktiviti larian.

Terbaru, Toon baharu sahaja memulakan misi lariannya yang cukup ekstrem – berlari bermula dari Betong yang terletak di wilayah selatan Yala menuju ke daerah Mae Sai di Chiang Rai. Jarak larian dari selatan hingga utara Thailand ini merangkumi sejauh 2191 kilometer dan Toon mahu menghabiskannya dalam tempoh 55 hari.

Larian ini bertujuan bagi mendapatkan dana sebanyak 20 juta USD untuk disumbangkan kepada 11 hospital tempatan.

“Saya percaya jika setiap rakyat Thailand dapat menyumbang sebanyak 10 baht seorang, jumlah yang disasarkan dapat dicapai pada 25 December nanti iaitu hari saya di garisan penamat” kata Toon.

“Selain meningkatkan fasiliti hospital di Thailand, larian ini diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai akan pentingnya untuk lebih aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat” tambahnya lagi.

Bagi membantu Toon menamatkan lariannya, jenama barangan sukan terkenal, Nike telah menjemput Toon ke ibu pejabat utamanya yang terletak di Beaverton, Oregon dimana dia diberikan sokongan yang sama dengan pasukan yang berada di belakang tabir Breaking2 (percubaan untuk menamatkan maraton di bawah catatan 2 jam) iaitu Nike Sports Research Lab (NSRL).

Toon dibekalkan kasut paling ideal selain menjalani ujian analisis lengkap bagi memastikan dirinya dilengkapi dengan persediaan rapi untuk misi lariannya.

“Komitmen Nike memberi inspirasi untuk saya memberikan yang terbaik melepasi had yang saya mampu lakukan” kata Toon.

Sebelum pulang ke Bangkok, Toon turut diberi kejutan oleh pihak Nike yang menghadiahkannya Nike Air Max 1 ditandatangani Tinker Hatfield. (Toon merupakan peminat nombor satu kasut tersebut).

Bagi mereka yang mahu mengikuti perkembangan larian Toon, anda boleh mengikutinya di sini.