Connect with:




Meskipun Kelantan bakal beraksi dalam saingan kancah Liga Premier, pemain tengahnya, Nik Akif Syahiran Nik Mat telah mengesahkan beliau tekad mahu kekal bersama The Red Warriors (TRW), musim hadapan.

Pemain yang dianggap tunjang utama jentera tengah TRW itu berazam ingin mengembalikan kegemilangan Sang Kijang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

“Pandangan peribadi saya, mewakili negeri kelahiran (Kelantan) merupakan perkara yang baik untuk perjalanan karier saya dalam bola sepak.

“Musim hadapan saya bercita-cita ingin menaikkan semula nama TRW sebagai antara kuasa besar bola sepak di negara kita,” kata anak kelahiran Kampung Keroh, Kuala Krai itu.

Pengesahan Nik Akif itu pastinya melegakan peminat tegar TRW apabila timbul khabar angin ‘ubi muda’ Kelantan sedang dipancing beberapa pasukan besar Liga Super.

Tambah mencemaskan peminat TRW apabila ada juga ura-ura mengatakan bahawa pemain berjersi No. 33 itu turut berada dalam radar sebuah kelab dari Thailand.

Ditanya mengenai persiapan bagi mewakili skuad bawah 19 tahun (B-19) negara pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Nik Akif memberitahu segala pengalaman dan ilmu yang dipelajari bersama pasukan B-23 kebangsaan akan dimanfaatkan sepanjang kejohanan nanti.

Nik Akif turut menyifatkan saingan B-19 AFC di Indonesia yang bermula 18 Oktober nanti adalah antara cabaran cukup besar buat dirinya.

“Sebagai membalas kepercayaan diberikan ketua jurulatih, Bojan Hodak, saya harus membuktikan sesuati dengan memberikan 100 peratus komitmen dan memanfaatkan segala pengalaman yang ada.

“Namun begitu, saya harus bekerja keras bagi mendapatkan tempat dalam skuad utama nanti kerana pastinya rakan-rakan sepasukan turut ingin merebut tempat,” ujarnya lagi.