Connect with:




Teka-teki siapa yang akan mengisi kerusi panas selaku ketua jurulatih Felda United FC terjawap semalam apabila pihak pengurusan mereka mengumumkan Mohd Nidzam Jamil telah dilantik untuk menggantikan B. Sathianathan.

Nidzam yang sebelum ini memegang jawatan selaku pembantu jurulatih berkata beliau mengharapkan ‘keajaiban’ untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan yang pastinya mencabar.

Meskipun akur akan melalui laluan berliku dalam memacu pasukan Felda untuk menjadi satu skuad yang mantap, beliau tetap optimis mahu berusaha untuk melakar keputusan terbaik bersama The Fighters.

“Di sebalik gembira atas perlantikan ini, saya turut akui bahawa saya cukup gementar untuk berdepan pasukan lebih berpengalaman dalam saingan Liga Super nanti.

“Tambahan pula, Cuma 50 peratus yang beraksi musim ini kekal bersama The Fighters dan sebahagiannya kita menggunakan tenaga untuk menjadi nadi pasukan musim depan.

“Namun, kepercayaan yang diberikan pihak pengurusan kelab banyak membantu saya dalam membentuk pasukan terbaik untuk mengharungi cabaran yang akan diberikan pasukan lain yang dibarisi pemain jauh lebih bagus serta berpengalaman,” jelasnya.

Bekas pemain pasukan Selangor itu yang pernah mengendalikan SPA FC serta AirAsia FC berkata beliau mengharapkan kerjasama serta sokongan padu daripada pihak pengurusan, staf kejurulatihan dan para pemain.

Beliau menjelaskan bahawa kerjasama itu mampu menjadi motivasi buat kelab itu malah beliau yakin ianya mampu memberikan pengalaman berharga buat pemain muda pasukan.

“Pemain akan matang melalui pengalaman yang mereka lalui dan jika suasana kerjasama yang padu ada dalam pasukan maka misi utama kelab untuk melahirkan barisan bintang muda yang berkualiti mampu dicapai,” ujarnya lagi.

Musim ini Nidzam yang bertuga sebagai pembantu kepada Sathianathan berjaya membantu Felda United untuk muncul juara Liga Perdana yang menyaksikan mereka layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim 2019.

 

Foto : Facebook Mohd Nidzam Jamil

Sumber : FOX Sports