Datuk Nicol Ann David mara ke perlawanan akhir Kejohanan Squash CIMB Nicol David Terbuka Kuala Lumpur 2012 setelah menang ke atas pemain dari Egypt, Raneem El Weleily 15-13, 12-14, 11-6 dan 11-7. Pemenang 7 kali kejohanan ini bagaimanapun terpaksa meningkatkan tahap permainan setelah tewas pada set kedua. El Weleily yang merupakan pemain pilihan ke 5 kejohanan mampu menyaingi rentak permainan Datuk Nicol David pada dua set yang pertama. Namun rentak permainan kembali dikuasai oleh Juara Dunia dari Malaysia itu dan melangkah bergaya ke perlawanan akhir apabila mudah mengatasi lawan pada set ketiga dan keempat dalam perlawanan yang mengambil masa 49 minit.

Lawan Datuk Nicol David pada perlawanan akhir esok adalah pemain di ranking ke 10 dunia iaitu Annie Au dari Hong Kong. Pemain yang berusia 23 tahun itu menamatkan cabaran “giant-killer” pada kejohanan kali ini iaitu Nour El Sherbini apabila bangkit dari tewas pada set pertama 9-11 untuk memenangi tiga set berikutnya dengan keputusan 11-9, 11-8 dan 11-8.

Impian peminat tempatan untuk menyaksikan satu lagi wakil Malaysia pada perlawanan akhir tidak kesampaian apabila Ong Beng Hee tewas kepada Omar Mosaad, 6-11, 7-11, 11-8 dan 7-11. Permainan jelas dikuasai oleh pemain yang mempunyai ketinggian 193 cm ini dan Mosaad mara ke perlawanan akhir selepas mengambil masa 52 minit untuk mengalahkan Ong Beng Hee.

Walau bagaimanapun rakan senegara Mosaad, Karim Darwish yang juga merupakan pemain pilihan utama kejohanan gagal melangkah ke perlawanan akhir apabila dikejutkan dengan permainan bersemangat dari wakil England, Adrian Grant. Grant yang juga merupakan pemain pilihan ke empat kejohanan edisi 2012 ini bangkit daripada tewas pada set pertama untuk mengenepikan cabaran Darwish dalam masa 80 minit.

Perlawanan akhir esok bagi kategori lelaki dijadualkan pada jam 3 petang manakala perlawanan akhir kategori wanita pada jam 4 petang di Berjaya Times Square.

 

Keputusan penuh kategori wanita peringkat suku akhir:

1.      Datuk Nicol Ann David (MAS) mng Raneem El Weleily (EGY): 15-13, 12-14, 11-6, 11-7

2.      Annie Au (HKG) mng Nour El Sherbini (EGY): 9-11, 11-9, 11-8,11-8

Keputusan penuh kategori lelaki peringkat suku akhir:

1.      Adrian Grant (ENG) mng Karim Darwish (EGY): 12-14, 11-8, 13-11, 11-9

2.      Omar Mosaad (EGY) mng Ong Beng Hee (MAS): 11-6, 11-7, 8-11, 11-7