Connect with:




Melakar sejarah sebagai juara remaja dunia wanita termuda, kemudian meraih gelaran dunia pada 2005 sekali gus meletakkannya di ranking pertama dunia ketika berusia 23 tahun buat kali pertama pada Januari 2006.

Kejayaan Datuk Nicol Ann David tidak boleh disangkal lagi. Namun, setelah lebih 20 tahun mengerah keringat dalam pentas skuasy, Nicol mengumumkan akan ‘menggantung raket’ sejurus berakhirnya musim Jelajah PSA 2018-19 Jun ini.

Juara dunia lapan kali itu juga memberitahu beliau masih mahu ‘duduk’ dekat dengan sukan yang disayanginya itu selepas bersara apabila ingin bekerjasa dengan persatuan Skuasy Profesional (PSA) dalam meningkatkan kesedaran selain menubuhkan pasukan sokongan bagi atlet profesional skuasy memberikan saingan sengit dalam jelah yang disertai.

Selain itu, beliau juga ingin fokus sepenuhnya terhadap Yayasan Nicol David bagi megembangkan potensi generasi muda negara ini terutamanya wanita untuk mencapai menerusi ceramah tentang perjalanan hidupnya.

“Selepas lebih 20 tahun bermain skuasy untuk Malaysia, bersaing dalam jelajah dan pelbagai kejohanan dan mencapai suatu peringkat terbaik dalam kerjaya yang dicintai, selain saya satu-satunya atlet Malaysia untuk mencapai penghargaan ini dan diiktiraf sebagai atlet skuasy wanita terbaik sepanjang zaman, saya dengan bangganya mengatakan bahawa saya bersedia dan gembira untuk mengumumkan persaraan saya pada akhir jelajah bermusim ini,” kata Nicol.

“Ini adalah saat di mana setiap atlet perlu lalui – untuk meneroka apa yang boleh dilakukan. Saya kini berada di tahap di mana saya bersedia untuk melakukan lebih daripada jelajah profesional.Keputusan ini sudah saya fikirkan dalam masa yang lama dan saya tahu ini adalah musim terakhir saya.

“Fikiran dan badan saya sudah bertarung untuk terus kekal berada di puncak permainan buat masa yang lama, yang membuatkan saya rasa ini adalah musim terakhir saya akan melakukan sehabis baik sebelum saya melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ramai netizen yang meluahkan perasaan hiba selain menyokong keputusan persaraannya yang dilakukannya semalam. Tidak cukup dengan itu, netizen turut mengucapkan terima kasih kepada Nicol kerana sentiasa mengharumkan nama Malaysia di persada dunia menerusi kejohanan yang disertai.

Dalam perkembangan sama, Nicol bakal bersaing pada Kejohanan Dunia di Chicago pada 23 Februari hingga 2 Mac ini dengan beliau diletakkan sebagai pemain pilihan ke-13.

Anak jati Pulau Pinang ini juga kini berada di ranking 21 dunia dan sebelum ini dia memegang rekod nombor satu di dunia untuk 109 bulan berturut-turut dari 2006-2015.

Foto: Rojak Daily