Nicol David Gagal Pertahankan Kejuaraan

 

Pemain Mesir, Raneem El Weleily membuat kejutan di final CIMB Malaysian Open 2012 selepas menewaskan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dalam perlawanan 4 set di The Curve. Pemain nombor 2 dunia itu mempamerkan aksi bertenaga terutamanya menerusi pukulan drop shot yang sering mengelirukan Nicol.

El Weleily memulakan langkah bergaya dengan memenangi set pertama 12-10 sebelum Nicol bangkit di set kedua dengan kemenangan 13-11.

Walaubagaimanapun, aksi kurang menyakinkan Nicol jelas kelihatan di dua set seterusnya dengan El Weleily terus menguasai permainan dan akhirnya memenangi perlawanan dengan keputusan akhir 12-10, 11-13, 11-6 dan 11-2.

Kekalahan ini bukan sahaja bermakna Nicol gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lepas malahan turut terlepas peluang untuk menyamai rekod 63 kejuaraan antarabangsa yang dipegang Susan Devoy.

“Hari ni permainan saya serba tidak menjadi. Saya minta maaf kepada semua penyokong yang hadir atas kekalahan ini” ujar Nicol selepas acara penyampaian hadiah.

Dalam pada itu, Mesir turut menguasai acara perseorangan lelaki selepas Tarek Momen menewaskan rakan senegaranya, Mohamed El Shorbagy. Tarek bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum memenanginya 12-10, 6-11, 12-10, 8-11 dan 14-12.